
KUALA LUMPUR, 3 November – Bank Simpanan Nasional (BSN) memperkenal Modul Celik Kewangan versi Braille bagi memperluas akses pendidikan kewangan kepada lebih 500 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ketidakupayaan penglihatan di 32 sekolah seluruh negara.
- Modul dibangunkan bersama Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan untuk membantu murid berkeperluan khas mempelajari asas pengurusan kewangan menerusi bahan sesuai.
- Topik termasuk pengurusan pendapatan dan belanjawan, simpanan dan pelaburan, kredit dan hutang serta perlindungan risiko termasuk takaful.
- Dilancar Timbalan Gabenor pada Karnival Celik Kewangan 2026, kesinambungan modul 2023 dan menyokong Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026 hingga 2030.
Modul yang dibangunkan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan itu bertujuan membantu murid mempelajari asas pengurusan kewangan sejak usia muda menerusi bahan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Antara topik yang diketengahkan termasuk pengurusan pendapatan dan belanjawan, simpanan dan pelaburan, kredit dan hutang serta perlindungan risiko termasuk takaful .
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen bank berkenaan dalam memastikan pendidikan kewangan dapat diakses semua lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan fizikal.
Modul itu dilancar Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid pada 25 Oktober lepas sempena Karnival Celik Kewangan 2026 di Shah Alam.
Inisiatif itu merupakan kesinambungan Modul BSN Celik Kewangan yang diperkenalkan pada 2023 dan menyokong Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 yang turut memberi penekanan terhadap aspek keterangkuman.