
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Isu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan, termasuk tidak mampu menampung keperluan pengajian dan terpaksa berhutang, akan diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
- Belanjawan 2027 akan memberi perhatian kepada isu mahasiswa, pengumuman terperinci dibuat kemudian.
- Perdana Menteri memberi jaminan sokongan kepada mahasiswa keluarga miskin agar tidak tercicir dalam pendidikan.
- Kerajaan akan pastikan sumber negara diurus berhemah supaya kekayaan dimanfaatkan tanpa ketirisan dan penyelewengan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara isu yang perlu didengar dan ditangani bagi memastikan golongan muda daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir dalam pendidikan.
“Anak-anak universiti kata, kita nak belajar tetapi kita lapar. Kita tumpukan nanti, saya umum masa belanjawan nanti. Tak boleh umum semua sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar memberi jaminan bahawa masalah mahasiswa daripada keluarga miskin yang tidak berkemampuan sehingga terpaksa berhutang perlu diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, Malaysia mempunyai kekayaan dan sumber yang mencukupi untuk membantu golongan berkenaan, khususnya memastikan mereka mendapat peluang meneruskan pengajian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kekayaan negara tidak seharusnya hilang akibat ketirisan dan amalan penyelewengan.
Menurutnya, pengurusan sumber negara secara berhemah penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.