Lelaki ditahan hantar bunga kertas tanpa permit, terima upah RM1,200

Antara 300 pokok yang dirampas dalam operasi PGA di Rantau Panjang, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 3 Oktober – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menerima upah RM1,200 bagi setiap penghantaran pokok ke sebuah nurseri di Kuala Lumpur, dalam operasi di Rantau Panjang, Kelantan, malam Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan lori di Kampung Parit Air menemui 10 pasu bunga kertas tanpa dokumen.
  • Hasil siasatan mendapati pokok dipercayai diseludup dari Thailand; 300 pokok dirampas, dianggarkan bernilai RM300,000.
  • Suspek pemandu lori syarikat nurseri diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam selepas anggota PGA mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Kampung Parit Air.

“Pemeriksaan di bahagian muatan belakang lori berkenaan menemukan 10 pasu pokok bunga kertas yang gagal dikemukakan sebarang dokumen oleh pemandunya.

“Pemandu berkenaan gagal mengemukakan dokumen berkaitan pokok-pokok tersebut sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lelaki ditahan bawa 300 pokok bunga kertas tanpa dokumen sah/Foto PGA Briged Tenggara

Ahmad Radzi berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit bekerja sebagai pemandu lori dan mototrailer sebuah syarikat nurseri di Rantau Panjang.

Menurutnya, pokok berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand tanpa melalui pemeriksaan dan kawalan pihak berkuasa berkaitan.

Rampasan bunga kertas dianggarkan bernilai RM300,000.

Suspek bersama barang kes diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.