
KOTA BHARU, 3 Oktober – Sebanyak 300 peket mercun bola bernilai RM15,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam serbuan di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, Kelantan, malam tadi.
- Anggota PGA mengesan sebuah kereta merah mencurigakan; pemandu berhenti lalu melarikan diri ke kawasan semak.
- Pemeriksaan menemui peket mercun bola di dalam kenderaan; pemandu gagal dikesan selepas melarikan diri.
- Siasatan awal mendapati sebuah bot merapat untuk penghantaran; sebuah kereta disita dan kes dirujuk kepada BSJ IPD Tumpat mengikut Seksyen 7(1).
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam selepas anggota PGA mengesan sebuah kereta berwarna merah dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik menyedari kehadiran anggota, pemandu kenderaan berkenaan memberhentikan kereta sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati 300 peket mercun bola berada di dalam kenderaan berkenaan, manakala pemandunya berjaya melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati terdapat sebuah bot merapat di tebing sungai bagi menghantar mercun berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan terbabit.
Selain mercun, sebuah kereta bernilai kira-kira RM10,000 turut disita, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM25,000.
Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.