Malaysia perlu perluas libat urus dengan Kongres AS – Pakar

Bangunan Capitol, yang menempatkan Kongres Amerika Syarikat (AS), di Washington, DC/ AFP (Foto kecil: Dr. Lee Pei May)

KUALA LUMPUR, 9 November- Malaysia perlu terus memperkukuh hubungan dengan Kongres Amerika Syarikat (AS) khususnya dalam bidang perdagangan, dasar luar dan kewangan susulan kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kongres mempunyai pengaruh penting terhadap peruntukan belanjawan yang menentukan pelaksanaan dasar pentadbiran AS.
  • Perubahan penguasaan Kongres tidak menggantikan peranan Presiden sebagai peneraju utama hubungan diplomatik dan dasar luar AS.
  • Mengubah dasar tarif sukar kerana Seksyen 301 memberi kuasa kepada USTR; Kongres boleh semak tetapi mengetepikan veto memerlukan sokongan dua pertiga.

Pakar geopolitik negara, Dr. Lee Pei May berkata perubahan penguasaan Kongres itu membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan interaksi dengan pemimpin jawatankuasa badan perundangan berkenaan bagi membincangkan kepentingan negara.

Beliau berkata Kongres mempunyai pengaruh penting dalam menentukan peruntukan belanjawan yang digunakan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk melaksanakan dasar-dasarnya.

“Hal ini kerana, Kongres menentukan belanjawan yang digunakan oleh pentadbiran Trump untuk melaksanakan dasar-dasarnya. Menteri atau delegasi Malaysia boleh bertemu pemimpin jawatankuasa Kongres contohnya dalam bidang perdagangan, hal ehwal luar dan kewangan,” katanya kepada RTM.

Bagaimanapun, Lee berkata perubahan penguasaan Kongres tidak bermakna parti yang menguasainya boleh mengambil alih peranan Presiden sebagai peneraju utama hubungan diplomatik dan dasar luar AS.

Menurutnya, Kongres tetap mempunyai pengaruh terhadap dasar luar menerusi kuasa meluluskan peruntukan belanjawan, menggubal undang-undang dan menjalankan pengawasan terhadap pentadbiran.

Beliau berkata Trump masih memegang jawatan Presiden sehingga Januari 2029, justeru perubahan penguasaan Kongres tidak semestinya membawa perubahan serta-merta terhadap pendekatan pentadbiran AS dalam hubungan dengan negara lain.

Mengulas kemungkinan perubahan dasar tarif AS, Lee berkata usaha untuk mengubah atau membatalkan langkah berkenaan bukan mudah kerana Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 membolehkan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap amalan perdagangan asing tertentu yang memenuhi kriteria undang-undang.

Menurutnya, Kongres boleh meneliti pelaksanaan dasar berkenaan menerusi fungsi perundangan dan pengawasannya, namun Kongres hanya boleh mengetepikan veto Presiden sekiranya rang undang-undang itu diluluskan semula dengan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli yang mengundi di setiap dewan.

Dalam perkembangan sama, Lee berpandangan kemenangan Demokrat tidak semestinya menjadikan Trump lebih bertolak ansur terhadap negara lain.

Sementara itu, beliau menjangkakan pembangunan industri semikonduktor Malaysia tidak terjejas secara langsung berikutan perubahan penguasaan Kongres, memandangkan sektor itu turut didorong permintaan dan pelaburan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pusat data.

Terdahulu, Parti Demokrat berjaya mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan dan Senat AS dalam pilihan raya pertengahan penggal yang berakhir pada 3 November lalu, sekali gus mengubah imbangan kuasa politik di Washington.

Keputusan itu mencerminkan ketidakpuasan hati sebahagian pengundi terhadap kos sara hidup yang tinggi, konflik dengan Iran serta kebimbangan berkaitan rasuah dalam kerajaan.

Kejayaan Demokrat turut merangkumi beberapa negeri yang sebelum ini dimenangi  Trump dalam pilihan raya 2024 termasuk Texas, Iowa dan New Hampshire.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.