
DOHA, 9 November – Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mempercepatkan migrasi kuantum bagi memperkukuh keselamatan data negara susulan perkembangan teknologi pengkomputeran kuantum yang berpotensi mengancam sistem keselamatan siber sedia ada.
- Fahmi arah MCMC berbincang dengan MKN, NACSA dan syarikat telekomunikasi untuk teroka kerjasama pelaksanaan penghijrahan kuantum lebih pantas dan selamat.
- Migrasi kuantum dan komunikasi selamat berasaskan kuantum perlu diberi perhatian susulan ancaman terhadap kaedah kriptografi sedia ada.
- Beliau meninjau pameran MWC Doha dan melihat inovasi teknologi termasuk aplikasi AI dalam perkhidmatan bandar pintar dan aspek keselamatan.
- Migrasi kuantum merujuk peralihan kepada penyulitan pasca kuantum bagi melindungi data daripada ancaman pengkomputeran kuantum masa depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan ruang penyelidikan bagi merealisasikan penghijrahan ini dengan lancar.
“Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta syarikat telekomunikasi bagi meneroka potensi kerjasama dalam melaksanakan penghijrahan kuantum yang lebih pantas dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke beberapa reruai pameran sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 di sini, semalam.
Menurutnya, migrasi kuantum dan komunikasi selamat berasaskan kuantum antara teknologi yang perlu diberi perhatian memandangkan perkembangan pengkomputeran kuantum dijangka mencabar kaedah kriptografi dan penyulitan data pada masa hadapan.
“Saya lihat isu yang akan dihadapi banyak negara pada masa depan adalah berkaitan migrasi kuantum dan komunikasi selamat berasaskan kuantum.
“Dalam tempoh yang tidak terlalu lama, pengkomputeran kuantum akan mula memasuki pasaran dan ini menjadi cabaran besar, khususnya dalam aspek kriptografi serta penyulitan bagi memastikan data kita sentiasa selamat,” katanya.
Dalam pada itu, lawatan ke reruai pameran berkenaan turut memberi peluang kepada beliau meninjau perkembangan pelbagai inovasi teknologi, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang diintegrasikan dalam perkhidmatan bandar pintar dan aspek keselamatan.
Migrasi kuantum merujuk kepada proses peralihan sistem keselamatan digital sedia ada kepada kaedah penyulitan pasca-kuantum yang direka untuk melindungi data daripada ancaman keupayaan pengkomputeran kuantum pada masa hadapan.