
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2027 dijangka memperkukuh ekosistem sektor penjagaan kesihatan negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang eksport kepada pemain industri tempatan.
- Menurut MATRADE, IHW memberi manfaat kepada syarikat tempatan, terutama PKS, melalui jualan dan sesi padanan perniagaan antarabangsa.
- Acara berlangsung 13 hingga 15 Julai 2027 di MITEC, Kuala Lumpur, menghimpunkan CPHI Asia Tenggara, WHX Kuala Lumpur dan Medtec Asia Tenggara.
- Kerajaan sokong penglibatan PKS; infrastruktur dan kesihatan digital kukuh merangsang pelancongan perubatan serta kapasiti eksport industri.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), S. Jai Shankar, penganjuran IHW 2027 mampu memberi manfaat besar kepada syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menerusi peluang jualan serta sesi padanan perniagaan dengan pemain industri antarabangsa.
Edisi kedua IHW di Malaysia itu akan berlangsung pada 13 hingga 15 Julai 2027 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Katanya, platform berkenaan dapat membantu memperluas jaringan perniagaan dan kerjasama industri, selain memberi ruang kepada PKS meningkatkan penglibatan dalam sektor penjagaan kesihatan yang terus mendapat sokongan kerajaan.
“Saya fikir acara seperti ini, yang merupakan platform industri, akan memberi manfaat yang sangat besar kepada syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam industri penjagaan kesihatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana kerana itu merupakan antara bidang yang sedang diberi sokongan oleh kerajaan Malaysia.
“Ini bagi membolehkan PKS mempunyai penglibatan yang lebih besar dalam industri penjagaan kesihatan,” katanya pada sidang media Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2027 di sini hari ini.
IHW 2027 dianjurkan dengan kerjasama MATRADE sebagai Rakan Strategik, menghimpunkan tiga pameran utama iaitu CPHI Asia Tenggara, Ekspo Kesihatan Sedunia (WHX) Kuala Lumpur dan Medtec Asia Tenggara.
Ketiga-tiga pameran itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor penjagaan kesihatan, termasuk produk farmaseutikal, bahan ramuan, peranti perubatan, teknologi pembuatan serta kemudahan hospital.
Sementara itu, Pengarah Portfolio Serantau ASEAN Informa Markets, Rungphech Chitanuwat berkata, Malaysia mempunyai asas kukuh dalam bidang kesihatan digital, selain pelbagai inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk pembangunan hospital mesra Muslim.
Menurutnya, kemudahan dan infrastruktur yang dibangunkan negara turut menyokong pengembangan pelancongan perubatan serta meningkatkan kapasiti industri untuk pasaran eksport.
Katanya, kerjasama strategik menerusi IHW berupaya memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memastikan sektor berkenaan terus menjadi pemacu nilai ekonomi negara.