
PUTRAJAYA, 28 Oktober – Jabatan Wilayah Persekutuan menyasarkan pengurangan kawasan hotspot banjir kilat di Kuala Lumpur daripada 14 kepada 10 lokasi menjelang akhir tahun ini menerusi pelaksanaan beberapa langkah mitigasi dan kawalan pembangunan.
- Kerjasama agensi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko Monsun Timur Laut.
- DBKL melaksanakan pengorekan sungai berterusan dan penyediaan kolam takungan melalui kawalan perancangan.
- Pelancaran Pusat Gerakan menyelaraskan maklumat dari Met Malaysia, JPS, DBKL dan Perbadanan Putrajaya untuk percepat respons.
- Tahap kesiapsiagaan sistem amaran dan penyampaian maklumat dinyatakan baik; Kuala Lumpur menggunakan kira-kira 10,000 CCTV.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Antara langkah dilaksanakan termasuk kerja pengorekan sungai secara berterusan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta penyediaan kolam takungan air di tapak menerusi kawalan perancangan pembangunan.
“Pada masa ini, di Kuala Lumpur terdapat 14 kawasan hotspot yang sering berlaku banjir kilat yang telah berjaya dikurangkan dan insya-Allah DBKL mensasarkan daripada 14 kawasan hotspot banjir kilat, dapat dikurangkan kepada 10 dengan kerjasama daripada agensi-agensi berkaitan.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pengurangan Risiko Bencana Antarabangsa sempena Hari Kesiapsiagaan Nasional di Putrajaya.
Dalam pada itu, sebuah Pusat Gerakan turut dilancarkan bagi menyelaras maklumat berkaitan potensi dan risiko insiden serta bencana di Wilayah Persekutuan.
Pusat berkenaan membolehkan akses kepada maklumat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, DBKL serta Perbadanan Putrajaya bagi mempercepat penyelarasan dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurut Datuk Muhammad Azmi, tahap kesiapsiagaan sistem amaran termasuk siren dan peralatan penyampaian maklumat kepada masyarakat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan berada dalam keadaan baik.
Di Labuan, simulasi kesiapsiagaan dilaksanakan minggu lalu, manakala Kuala Lumpur mempunyai kira-kira 10,000 CCTV yang digunakan bagi pelbagai fungsi.
Bagi Putrajaya, kejadian banjir kilat tidak begitu ketara, dengan insiden kecil direkodkan di Presint 9 tanpa melibatkan kerosakan harta benda yang serius.