Sindiket ‘Call Centre’ sasar mangsa luar negara tumpas

Foto RTM

SHAH ALAM, 28 Oktober – Polis Selangor menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan pusat panggilan yang menyasarkan mangsa di luar negara menerusi sembilan operasi berasingan dari 20 hingga 26 Oktober lalu, dengan rampasan bernilai kira-kira RM228,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • 58 suspek ditahan, berumur 20–50 tahun; gabungan warga asing dan warganegara tempatan.
  • Sindiket menggunakan operator pusat panggilan untuk penipuan dalam talian seperti pelaburan, love scam dan penipuan tawaran pekerjaan.
  • Polis merampas peralatan elektronik, melakukan serbuan premis, menahan suspek direman; semakan imigresen dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Selangor dengan bantuan bahagian siasatan jenayah komersial lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu membawa kepada penahanan 58 individu berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Mereka terdiri daripada 45 lelaki dan lima wanita warga asing serta lapan lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai operator khidmat pelanggan bagi menjalankan pelbagai kegiatan penipuan dalam talian.

“Kesemua individu yang ditahan berperanan sebagai operator khidmat pelanggan bagi melakukan pelbagai kesalahan penipuan atas talian, antaranya pelaburan saham, love scam dan juga penipuan tawaran pekerjaan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa dari luar negara dan beroperasi dari Julai hingga Oktober 2026,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas 16 komputer riba, dua iPad, dua unit pemprosesan pusat (CPU), 117 telefon bimbit, lapan penghala dan modem serta 21 komputer yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Menurutnya, sindiket itu menjadikan beberapa jenis premis sebagai pusat operasi, termasuk kondominium, rumah teres dan hotel.

Beliau turut berkata, siasatan awal mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif.

“Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai memasuki Malaysia melalui pintu masuk yang sah. Bagaimanapun, terdapat antara mereka yang yang tidak memilikinya.

“Semakan silang sedang dijalankan bersama Jabatan Imigresen bagi mengesahkan status dokumen perjalanan mereka,” katanya.

Tambah beliau, sindiket berkenaan turut menyasarkan mangsa yang dipercayai berasal dari beberapa negara, termasuk di Eropah dan Asia Timur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, manakala semua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan kegiatan pusat panggilan mencurigakan di premis kediaman atau perniagaan bagi membolehkan tindakan diambil.

 

 

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.