
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) akan diperluas di sekolah, khususnya di kawasan berisiko sebagai langkah memperkukuh keselamatan murid serta mencegah kejadian buli.
- Peruntukan pemasangan CCTV ditingkatkan: RM3 juta (2025) kepada RM5 juta (2026) dan RM15 juta (2027) untuk sekolah memerlukan.
- Pemasangan fokus di kawasan berisiko seperti titik buta, koridor, stor dan blok asrama, ditentukan berdasarkan nasihat teknikal untuk pelihara privasi.
- 300 pembantu warden asrama (2026) meningkat kepada 500 (2027) untuk rondaan malam; 562 guru dilatih sebagai penyelaras keselamatan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peruntukan bagi pemasangan CCTV meningkat daripada RM3 juta melibatkan 200 sekolah pada 2025 kepada RM5 juta bagi 333 sekolah pada 2026.
Pada 2027, peruntukan itu akan ditingkatkan kepada RM15 juta bagi melengkapkan pemasangan CCTV di sekolah yang memerlukan kemudahan berkenaan.
Menurut beliau, pemasangan sistem kamera itu akan tertumpu di kawasan berisiko, termasuk titik buta, koridor, stor dan blok asrama.
“Lokasi pemasangan ditentukan berdasarkan nasihat teknikal Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia bagi memastikan keseimbangan antara aspek keselamatan dengan pemeliharaan privasi murid.
“Selain itu, bagi memperkukuh keselamatan di sekolah dan institusi pendidikan, KPM telah menempatkan 300 pembantu warden asrama pada tahun 2026 untuk menjalankan rondaan malam secara fokus dan jumlah ini akan ditingkatkan kepada 500 orang pada tahun 2027 berikutan keberkesanannya dalam mencegah insiden buli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fadhlina memaklumkan seramai 562 guru telah menerima latihan menerusi kerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk bertindak sebagai penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Mereka bertanggungjawab mengaudit aspek keselamatan fizikal sekolah, termasuk kawasan berisiko seperti tandas tersorok dan lokasi yang mempunyai pencahayaan kurang memuaskan,” katanya.