Op Roboh Kampung Chubadak: 119 premis dirobohkan

Operasi merobohkan 119 premis di Kampung Chubadak Tambahan, Mukim Setapak, Sentul berjalan lancar tanpa sebarang gangguan/Foto Polis KL

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Sebanyak 119 premis di Kampung Chubadak Tambahan, Mukim Setapak, Sentul berjaya dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan hari ini tanpa sebarang gangguan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Op Roboh Fasa 2 adalah susulan Op Roboh Fasa 1 pada 14 Januari yang melibatkan 69 buah rumah.
  • Mahkamah menyerahkan notis pengosongan pada 16 Julai memberi pemilik tempoh 16 hingga 30 Julai untuk mengosongkan premis.
  • Polis menegaskan proses dilaksanakan secara telus dan teratur serta komited memastikan keselamatan awam, maklumat hubungi 03-4048 2222.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Basri Sagoni berkata operasi itu merupakan Op Roboh Fasa 2, susulan pelaksanaan Op Roboh Fasa 1 pada 14 Januari lepas yang melibatkan 69 buah rumah.

Beliau berkata, pada 16 Julai lalu, mahkamah telah selesai menyerahkan notis pengosongan kepada pemilik premis yang mengarahkan mereka mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh 16 hingga 30 Julai.

“Sehingga pukul 2.00 petang, keseluruhan daripada 119 premis berjaya dirobohkan melibatkan zon operasi. Sepanjang operasi berlangsung, tiada kehadiran NGO atau individu yang mencetuskan sebarang gangguan direkodkan.

“Keadaan di lokasi adalah terkawal dan operasi berjalan lancar di bawah pemantauan berterusan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah beri tempoh dua minggu kepada pemilik premis untuk mengosongkan kawasan itu pada 16 Julai lalu/Foto Polis KL

Menurut beliau, pihak polis menegaskan segala proses pengosongan tapak dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada.

Polis juga akan terus komited memastikan keselamatan awam, ketenteraman serta kelancaran setiap operasi penguatkuasaan demi kepentingan semua pihak.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.