
SAN SALVADOR, 1 Oktober – El Salvador akan mengadakan pilihan raya presiden pada 28 Februari 2027, menurut Tribunal Pilihan Raya negara itu pada Rabu.
- Perlembagaan dipinda untuk memansuhkan had penggal, membolehkan Nayib Bukele bertanding penggal ketiga.
- Tindakan keras terhadap kongsi gelap menurunkan jenayah; sejak darurat 2022 kira-kira 92,000 orang ditahan.
- NGO dakwa pencabulan hak asasi meluas termasuk penyeksaan; Bukele menafikan, sementara pembangkang ARENA dan FMLN umum calon.
keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada Presiden Nayib Bukele untuk bertanding bagi penggal ketiga.
Perlembagaan negara itu dipinda tahun lalu bagi memansuhkan had penggal presiden dan membolehkan Bukele, yang memegang jawatan sejak 2019, bertanding semula tanpa had.
Bukele, 45, mendapat sokongan meluas di El Salvador dan beberapa negara Amerika Latin susulan tindakan keras terhadap kumpulan kongsi gelap menyaksikan kadar jenayah negara itu menurun ke paras terendah dalam sejarah.
Di bawah keadaan darurat yang diisytiharkan pada 2022, kira-kira 92,000 individu, kebanyakannya lelaki muda, telah ditahan dan dipenjarakan.
Bagi mengurangkan tunggakan kes, mahkamah turut mula menjalankan perbicaraan secara beramai-ramai.
Bagaimanapun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa kempen memerangi jenayah itu melibatkan pencabulan hak asasi manusia secara meluas, termasuk penyeksaan yang boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
Bukele menolak dakwaan berhubung pencabulan hak asasi manusia dan tidak mengendahkan kritikan terhadap pemerintahannya yang dianggap kuku besi.
Beliau dipilih parti Nuevas Ideas untuk bertanding bagi penggal ketiga.
Jika menang, tempoh pemerintahannya akan dilanjutkan sehingga 2033 berikutan peraturan baharu yang memanjangkan tempoh penggal presiden daripada lima kepada enam tahun.
Bekas anggota kongres Maytee Iraheta daripada parti berhaluan kanan Nationalist Republican Alliance (ARENA) dan pemimpin kesatuan sekerja Rafael Aguirre daripada parti berhaluan kiri Farabundo Marti National Liberation Front (FMLN) turut mengumumkan hasrat untuk bertanding menentang Bukele.