5.8 juta kanak-kanak pelarian tidak bersekolah pada 2025

Foto AFP

GENEVA, 3 Oktober – Kira-kira 5.8 juta kanak-kanak pelarian tidak bersekolah pada 2025, dengan pemotongan pembiayaan dikhuatiri menjejaskan akses pendidikan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Potongan pembiayaan membahayakan pelaburan pendidikan yang dibina berdekad-dekad dan mengehadkan peluang generasi muda.
  • Kadar enrolmen: 65% di peringkat rendah, 32% di peringkat menengah, pendidikan tinggi capai rekod 11%.
  • Pembiayaan UNHCR merosot dari AS$5.2 bilion (2024) kepada AS$3.9 bilion, menjejaskan kapasiti perlindungan.
  • Agensi memerlukan AS$8.5 bilion tetapi hanya terima AS$2.7 bilion (32%), hampir 8.3 juta berisiko kehilangan bantuan.

Menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR), jumlah itu mewakili 44 peratus daripada 13.1 juta kanak-kanak pelarian di seluruh dunia yang mendapat pendidikan pada tahun berkenaan.

“Pendidikan adalah perlindungan, namun ia juga merupakan laluan kepada peluang dan keupayaan untuk berdikari,” kata Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Barham Salih.

Beliau berkata pemotongan pembiayaan kemanusiaan dan pembangunan berisiko menjejaskan pelaburan pendidikan yang dibangunkan sejak beberapa dekad lalu serta mengehadkan peluang generasi muda.

“Perpindahan tidak seharusnya menentukan batas kehidupan seseorang kanak-kanak,” katanya.

UNHCR berkata 65 peratus kanak-kanak pelarian di sekolah rendah mengikuti pendidikan pada 2025, berbanding hanya 32 peratus di peringkat sekolah menengah.

Kadar enrolmen pelarian di peringkat pendidikan tinggi pula meningkat kepada rekod 11 peratus pada tahun sama.

Awal minggu ini, UNHCR memaklumkan pembiayaannya merosot daripada AS$5.2 bilion pada 2024 kepada AS$3.9 bilion pada 2025, ketika jumlah individu di bawah mandat perlindungannya kekal pada paras hampir tertinggi.

Agensi itu memerlukan AS$8.5 bilion tahun ini bagi melindungi pelarian, namun hanya menerima AS$2.7 bilion atau 32 peratus daripada jumlah berkenaan sehingga akhir Julai.

UNHCR memberi amaran hampir 8.3 juta pelarian dan individu lain yang dipindahkan secara paksa berdepan risiko kehilangan bantuan penting susulan kemerosotan perkhidmatan perlindungan akibat kekurangan pembiayaan.

Salih, bekas Presiden Iraq yang pernah menjadi pelarian, berkata pendidikan memberikan peluang yang mungkin dinafikan kepadanya akibat perpindahan. – AFP

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.