Bekalan perubatan ke Gaza ambil 74 hari untuk kelulusan Israel

Foto AFP

GENEVA, 2 Oktober – Sejumlah besar bekalan perubatan yang ditujukan ke Gaza mengambil masa purata 74 hari untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa Israel, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, sambil menggesa akses “tanpa halangan dan teratur” bagi bantuan yang amat diperlukan itu, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada hospital di Gaza beroperasi sepenuhnya akibat kekurangan kronik ubat dan bekalan perubatan.
  • Ubat hampir semua diluluskan, tetapi peralatan perubatan sering ditolak tanpa penjelasan.
  • Kelewatan kelulusan menyebabkan ubat hampir tarikh luput dan peralatan mudah rosak sebelum sampai pesakit.
  • WHO menggesa akses kemanusiaan tanpa halangan dan pembukaan lebih banyak pintu sempadan ke Gaza.

“Tiada satu pun hospital di Gaza yang beroperasi sepenuhnya,” kata wakil WHO di wilayah Palestin yang diduduki, Reinhilde Van De Weerdt, kepada wartawan di Geneva.

Van De Weerdt berkata kekurangan kronik ubat-ubatan dan bekalan perubatan kekal sebagai halangan utama dalam memulihkan perkhidmatan kesihatan, walaupun setahun telah berlalu sejak gencatan senjata diumumkan.

“Tanpa barangan berkenaan, tiada hospital yang akan beroperasi sepenuhnya atau secara separa,” katanya.

Menurut analisis terbaharu WHO, bekalan perubatan dalam jumlah yang besar menunggu purata 74 hari, kira-kira dua setengah bulan, untuk kelulusan Israel.

“Sekiranya penghantaran itu tidak diluluskan, kami perlu memulakan semula proses yang panjang dan rumit itu dari awal tanpa sebarang jaminan keputusan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata ubat-ubatan mempunyai kadar kelulusan hampir 87 peratus, manakala peralatan perubatan – termasuk mesin sinar-X, peralatan pensterilan, dan alat ganti imbasan CT – kerap ditolak, “selalunya tanpa sebarang penjelasan.”

“Setiap hari tambahan di pusat penyimpanan atau dalam transit membawa ubat-ubatan seharian lebih dekat kepada tarikh luput dan peralatan lebih berisiko rosak sebelum sempat sampai kepada individu yang memerlukan,” katanya memberi amaran.

Beliau turut menggambarkan situasi keselamatan di Gaza sebagai “sangat rapuh”, sambil menjelaskan bahawa usaha mengambil bekalan perubatan dari pintu sempadan Kerem Shalom memerlukan pasukan WHO merentasi kawasan dikuasai tentera Israel yang menggunakan kenderaan perisai serta peralatan perlindungan diri.

Proses itu mesti diselaraskan dengan pihak berkuasa Israel, dan pasukan berkenaan sering berdepan kelewatan untuk mendapatkan lampu hijau. Beliau menambah bahawa kakitangan logistik boleh bertolak seawal pagi dan hanya kembali lewat malam bersama bekalan yang telah lama tersadai di pintu sempadan.

Sehubungan itu, WHO menggesa penyerahan barangan kemanusiaan dan kesihatan secara meluas ke Gaza dijalankan “tanpa halangan dan boleh dijangka” melalui pembukaan pelbagai pintu sempadan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.