
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terlebih belanja sebanyak RM2.1 bilion bagi program Jalan Luar Bandar (JALB) tidak mengambil kira peruntukan selepas proses penyelarasan dilaksanakan.
- Peruntukan asal JALB 2023–2025 RM3.982 bilion; dipinda kepada RM6.143 bilion; perbelanjaan sebenar RM6.108 bilion, baki kira-kira RM34.2 juta.
- Tuduhan berasaskan perbandingan antara perbelanjaan sebenar dan peruntukan asal tanpa mengambil kira pindaan peruntukan.
- Penyelarasan peruntukan mengikut tatacara kewangan: melalui Notice of Change, pegawai berkenaan, Kementerian Ekonomi, Kewangan dan Akauntan Negara.
- Projek JALB ambil masa bertahun; perbezaan antara kos keseluruhan dan keperluan bayaran tahunan memerlukan pindaan peruntukan dalaman.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan peruntukan asal JALB bagi tempoh 2023 hingga 2025 berjumlah RM3.982 bilion.
Selepas proses penyelarasan, jumlah peruntukan dipinda RM6.143 bilion, manakala perbelanjaan sebenar RM6.108 bilion.
“Apabila dibandingkan dengan peruntukan selepas pindaan itu, perbelanjaan sebenar masih di bawah jumlah yang tersedia dengan baki kira-kira RM34.2 juta.
“Justeru, mana datang angka RM2.1 bilion ini? Ia terhasil apabila perbelanjaan sebenar RM6.108 bilion ditolak dengan peruntukan asal RM3.982 bilion tanpa mengambil kira peruntukan dipinda,” katanya.
Sekiranya dibandingkan perbezaan RM2.1 bilion dengan peruntukan asal, ia tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa berlaku wang hilang, ketirisan dan penyelewengan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa proses penyelarasan peruntukan tersebut turut dilaksanakan di kementerian-kementerian lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata proses penyelarasan peruntukan JALB mengikut tatacara kewangan Kerajaan yang telah dipatuhi KKDW sepenuhnya.
“Pertama, setiap penyelarasan perlu melalui mekanisme Notice of Change (NOC) serta pindahan peruntukan mengikut jenis perubahan dan kelulusan yang diperlukan. Proses ini melibatkan Pegawai Pengawal KKDW, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kedua, kelulusan serta pelarasan berkaitan direkodkan melalui sistem kerajaan termasuk MyProjek dan iGFMAS. Ketiga, bagi tahun 2023 dan 2025, pertambahan peruntukan JALB dibuat melalui pindaan peruntukan dalaman tanpa melebihi siling keseluruhan Bajet Pembangunan Tahunan KKDW yang diluluskan,” jelasnya.
Tambah beliau, projek jalan luar bandar kebiasaanya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.
Sehubungan itu, katanya penting untuk membezakan antara kos keseluruhan projek dan keperluan bayaran bagi sesuatu tahun.
Menurutnya, peruntukan tahunan disediakan berdasarkan anggaran kemajuan kerja dan bayaran yang perlu dibuat pada tahun pelaksanaan projek berkenaan.
“Apabila kerja bergerak lebih cepat daripada jangkaan, tuntutan bayaran tahunan turut meningkat. Begitu juga apabila projek terdahulu memasuki fasa pembayaran atau tuntutan yang telah disahkan perlu diselesaikan.
“Dalam keadaan ini, peruntukan tahunan perlu diselaraskan melalui pindahan peruntukan dalaman bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika sesi pergulungan kementeriannya pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Sehingga 30 September 2026, sebanyak 415 projek JALB berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan, dengan kos keseluruhan kira-kira RM34.23 bilion.