Sabah hasrat perkukuh kerjasama dua hala, tingkat pelaburan dengan Itali

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Duta Besar Itali ke Malaysia Raffaele Langella / Foto Facebook Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 26 Oktober – Sabah berhasrat memperkukuh kerjasama dua hala dengan Itali menerusi penerokaan peluang pelaburan dalam sektor minyak dan gas, pelancongan serta pendidikan tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Menteri mengalu-alukan minat kerajaan dan syarikat Itali meneroka peluang perniagaan dan kerjasama akademik di Sabah.
  • Duta Besar: syarikat Itali melihat potensi besar di Sabah dan memerlukan sokongan untuk mengenal pasti pelaburan yang berdaya maju.
  • Itali bersedia membantu promosi Tahun Melawat Sabah 2027 dan universiti Itali berminat memperluas kerjasama dengan institusi pengajian tinggi Sabah.

Pejabat Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kesediaan kerajaan negeri memperluas kerjasama ekonomi dan akademik dengan Itali ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Itali ke Malaysia Raffaele Langella.

“Kami mengalu-alukan minat kerajaan dan syarikat Itali untuk meneroka peluang perniagaan yang lebih luas di Sabah,” kata Hajiji dalam kenyataan itu selepas menerima kunjungan hormat berkenaan di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Langella berkata syarikat Itali melihat potensi besar yang belum diterokai di Sabah dan memerlukan sokongan untuk mengenal pasti peluang pelaburan yang berdaya maju.

“Tahun depan ialah Tahun Melawat Sabah 2027, jadi kami ingin membantu mempromosikan Sabah,” katanya sambil menyatakan kesediaan Itali untuk menyokong usaha promosi pelancongan negeri itu di luar negara.

Beliau berkata universiti di Itali turut berminat memperluas aktiviti akademik di rantau ini, khususnya menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Sabah.

Langella berharap pertemuan dua hala itu dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak, selain membuka peluang kepada pelaksanaan pelaburan yang signifikan dalam masa terdekat.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.