RSF serang stesen janakuasa jejas bekalan elektrik di Sudan

(Foto fail) Kepulan asap kelihatan selepas serangan udara dilancarkan tentera Sudan ke atas kedudukan RSF di tengah Khartoum pada September 2024/ AFP

KHARTOUM, 26 Oktober – Pasukan separa tentera Sudan (RSF), melancarkan serangan dron serentak terhadap lima stesen janakuasa pada Isnin, menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas di wilayah timur negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan mensasarkan dua stesen janakuasa di Al-Jazira dan Gedaref, serta satu lagi di negeri White Nile.
  • Bekalan elektrik terputus di sebahagian besar kawasan dalam ketiga-tiga negeri terbabit.
  • PBB memberi amaran serangan terhadap stesen janakuasa mengancam kesihatan dan perkhidmatan asas jutaan penduduk.
  • Gangguan bekalan menambahkan tekanan kepada penduduk terjejas, termasuk risiko kehilangan ubat seperti insulin.

Menurut seorang pegawai kerajaan, serangan itu menyasarkan dua stesen janakuasa masing-masing di negeri Al-Jazira dan Gedaref, serta sebuah lagi di negeri White Nile.

Serangan berkenaan mengakibatkan bekalan elektrik terputus di sebahagian besar kawasan di ketiga-tiga negeri terbabit.

Ketiga-tiga negeri itu berada di bawah kawalan tentera Sudan yang sejak April 2023 terlibat dalam konflik bersenjata dengan bekas sekutunya, RSF.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran serangan berterusan terhadap stesen janakuasa mengancam kesihatan serta perkhidmatan asas jutaan penduduk.

Gangguan bekalan elektrik turut menambah tekanan terhadap penduduk yang berdepan krisis kebuluran di negara itu.

Wartawan AFP di negeri Al-Jazira melaporkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan terputus sejak pukul 2.00 pagi waktu tempatan pada Isnin.

Seorang penduduk Al-Fao di negeri Gedaref, Babiker Youssef, berkata bekalan elektrik di kawasan tempat tinggalnya turut terputus sejak waktu berkenaan.

“Anak lelaki saya menghidap diabetes dan insulinnya perlu disimpan di dalam peti sejuk,” katanya kepada AFP menerusi panggilan telefon, meluahkan kebimbangan tidak akan dapat menggantikan ubat tersebut sekiranya ia rosak.

“Kami langsung tidak tahu bila bekalan elektrik akan pulih,” katanya.

Sebelum ini, serangan dron oleh pasukan separa tentera terhadap stesen janakuasa dan empangan hidroelektrik menyebabkan gangguan bekalan elektrik selama beberapa hari, sekali gus menambah penderitaan hampir 20 juta penduduk yang berdepan krisis kebuluran.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.