Harga minyak mentah Brent melonjak kepada AS$117 setong

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Harga minyak mentah Brent melonjak kepada AS$117 setong didorong serangan kumpulan Houthi terhadap infrastruktur Arab Saudi serta aliran minyak yang lebih perlahan melalui Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kos penghantaran meningkat apabila laluan Yanbu-Ningbo menjadi lebih panjang dan tambang pengangkutan laut naik, membebankan kos penghantaran minyak ke Asia.
  • Serangan ke atas infrastruktur Arab Saudi dan pengurangan aliran melalui Selat Hormuz mengehadkan bekalan dan memberi tekanan kepada pasaran minyak.
  • Rystad: prospek makro tunjukkan pertumbuhan berdaya tahan dengan inflasi berterusan; bank pusat dijangka kekal pada kadar, pengetatan Disember masih risiko.

Rystad Energy dalam nota penyelidikan memaklumkan, kadar tambang pengangkutan laut turut meningkat apabila penghantaran minyak mentah Arab Saudi ke Asia terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh dan mahal.

”Perkembangan tersebut meningkatkan kos minyak yang dihantar ke destinasi akhir yang turut diambil kira dalam kontrak niaga hadapan Brent,” jelas firma penyelidikan dan risikan tenaga bebas itu, dalam nota penyelidikan hari ini.

Ketua Pakar Ekonomi Rystad Energy, Claudio Galimberti berkata, tekanan terhadap pasaran minyak berpunca daripada gangguan bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.

“Serangan terhadap infrastruktur Arab Saudi dan pengurangan aliran minyak melalui Selat Hormuz mengehadkan bekalan, manakala kos pengangkutan bagi laluan Yanbu-Ningbo meningkat dua kali ganda sejak awal September, menjadikan penghantaran minyak ke Asia lebih mahal.

”Data ekonomi dan keputusan bank pusat minggu ini akan memberikan petunjuk mengenai daya tahan ekonomi global sekiranya gangguan bekalan tenaga berterusan,” katanya.

Sementara itu, firma tersebut memaklumkan prospek makroekonomi terus menunjukkan gabungan pertumbuhan yang berdaya tahan dengan inflasi berterusan.

Firma itu turut menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed), Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank of Japan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat minggu ini, manakala kemungkinan pengetatan dasar monetari selanjutnya pada Disember kekal menjadi perhatian pasaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.