Cadangan rumah sewa pelajar pada harga terkawal bergantung kewangan universiti

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Cadangan penyediaan rumah sewa pelajar pada kadar harga terkawal bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa disambut baik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), namun pelaksanaannya bergantung kepada kapasiti serta kedudukan kewangan universiti dan institusi pendidikan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT menyerahkan pelaksanaan kepada budi bicara pengurusan universiti mengikut kesesuaian dan kemampuan institusi.
  • Prioriti penginapan diberi kepada mahasiswa B40, OKU, atlet dan pelajar unit beruniform.
  • KPT bertindak sebagai pemudah cara menyelesaikan aduan berkaitan masalah tempat tinggal mahasiswa.
  • Mahasiswa yang menyewa di luar kampus diminta memaklumkan lokasi kepada universiti untuk memudahkan pemantauan.

Menterinya Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kementeriannya menyerahkan perkara itu kepada budi bicara pihak pengurusan universiti mengikut kesesuaian dan kemampuan institusi masing-masing.

“Cadangan itu bergantung pada keperluan dan kapasiti universiti yang berkenaan. Kita terbuka terhadap cadangan tersebut, namun pelaksanaannya bergantung pada kedudukan kewangan semasa universiti. Pada asasnya, cadangan ini merupakan satu cadangan yang baik.

“Untuk makluman, perkara ini turut dikemukakan oleh Majlis Perwakilan Siswa untuk kita melihat aspek berkenaan, memandangkan terdapat beberapa universiti yang perlu diberikan penekanan dan keutamaan dalam konteks ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, mahasiswa daripada keluarga B40, Orang Kurang Upaya (OKU), atlet dan pelajar yang menyertai unit beruniform sentiasa diberi keutamaan bagi mendapatkan kediaman di dalam kolej.

“Sekiranya terdapat masalah berkaitan tempat tinggal, mahasiswa biasanya akan mengemukakan aduan kepada pihak universiti dan KPT akan bertindak sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Zambry berkata kementerian turut menekankan kepentingan pelajar yang menyewa di luar kampus memaklumkan lokasi kediaman kepada pihak universiti bagi memudahkan pemantauan.

Menurutnya, terdapat pelajar yang menguruskan sendiri urusan penyewaan tanpa melalui pihak universiti, sekali gus menyukarkan pemantauan keberadaan mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, berhubung kesediaan kerajaan menyediakan bantuan sewa bersasar kepada mahasiswa yang belum mendapat tempat di kolej kediaman sementara menunggu penambahan kapasiti penginapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.