Banjir Nepal: Seorang rakyat Malaysia selamat

Foto Fail AFP

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terputus hubungan ketika bencana banjir dan tanah runtuh melanda Nepal pada Ogos lalu, disahkan selamat dan kini sudah kembali ke Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Identiti lelaki itu tidak didedahkan oleh pihak berkuasa.
  • Beliau dilaporkan berada di Nagthali Viewpoint pada 25 Ogos, kawasan tanah tinggi berbanding Rasuwagadhi.
  • 54 lagi rakyat Malaysia masih belum dihubungi; dipercayai terkandas akibat kerosakan jalan, jambatan, bekalan dan komunikasi.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam memaklumkan lelaki berkenaan telah pergi ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu atas usahanya sendiri semalam, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia dan tiba dengan selamat pagi tadi.

“Perkembangan itu dimaklumkan Kementerian Luar kepada kumpulan WhatsApp yang disertai waris terdekat pada hari ini.

Bagaimanapun, identiti lelaki tersebut tidak didedahkan,” jelasnya.

“Individu tersebut melakukan perjalanan secara bersendirian dan merupakan satu-satunya pengembara solo yang kini telah disahkan selamat daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia (yang dilaporkan hilang).

“Kami dimaklumkan bahawa individu terbabit berada di Nagthali Viewpoint pada 3.26 petang, 25 Ogos, iaitu sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh pada 26 Ogos. Nagthali Viewpoint merupakan kawasan tanah tinggi dan berada jauh lebih tinggi berbanding kawasan Rasuwagadhi,” jelas beliau.

Menurut Dr Manivannan lagi, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak waris, lelaki berkenaan dipercayai terkandas selepas beberapa laluan utama termasuk jalan raya dan jambatan mengalami kerosakan.

“Keadaan itu menjadi lebih sukar berikutan gangguan bekalan elektrik dan air bersih serta ketiadaan akses komunikasi, sekali gus menyukarkan beliau untuk bergerak atau menghubungi pihak luar,” ujar beliau.

Katanya, perkembangan terbaharu itu menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan individu yang terjejas akibat bencana tersebut masih berada dalam keadaan selamat, namun tidak dapat berhubung dengan keluarga atau pihak berkuasa untuk tempoh yang panjang berikutan kerosakan infrastruktur dan sistem komunikasi.

Dalam pada itu, Dr Manivannan memaklumkan seramai 54 lagi rakyat Malaysia masih belum berjaya dihubungi setakat ini.

Kesemua mereka dipercayai melakukan perjalanan ke Nepal dalam beberapa kumpulan yang berasingan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.