73 projek bilik darjah tambahan di Melaka siap Disember – DS Ahmad

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek (dua, kiri) menyaksikan gimik penyerahan replika kunci oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor (kanan) kepada Pengetua SMK Durian Tunggal Omar Ibrahim (kiri). Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (dua, kanan) – Foto BERNAMA

ALOR GAJAH, 2 Oktober – Sebanyak 73 projek bilik darjah tambahan di Melaka dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember ini bagi menampung keperluan murid Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek melibatkan 53 sekolah dengan peruntukan RM40.3 juta sebagai salah satu inisiatif Quick Win Kementerian Kerja Raya.
  • Dua inisiatif Quick Win tambahan: bilik darjah di lima sekolah berkepadatan tinggi (RM7.2 juta) dan dewan serbaguna terbuka di tujuh sekolah (RM6.5 juta).
  • Projek diberi keutamaan supaya kemudahan pendidikan dapat ditambah baik dan digunakan pada awal sesi persekolahan akan datang.

Projek membabitkan 53 sekolah itu melibatkan peruntukan RM40.3 juta dan merupakan antara tiga inisiatif ‘Quick Win’ Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi meningkatkan kemudahan pendidikan di negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua projek berkenaan diberi keutamaan bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan sebaik sesi persekolahan 2027 bermula.

“Kesemua 73 projek bilik darjah tambahan Tahun Satu bagi sesi 2027 di negeri Melaka akan siap selewat-lewatnya Disember ini.

“Jadi, ada sekitar tiga bulan lagi untuk disiapkan kerana kita ingin menggunakan kesemua 73 projek itu pada awal tahun, apabila murid masuk kelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Datuk Seri Ahmad berkata, dua lagi inisiatif Quick Win turut dilaksanakan, membabitkan pembinaan bilik darjah tambahan di lima sekolah berkepadatan tinggi serta pembinaan dewan serbaguna terbuka berbumbung di tujuh sekolah.

Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan masing-masing melibatkan peruntukan RM7.2 juta dan RM6.5 juta serta turut disasarkan siap menjelang hujung tahun ini.

Keseluruhan inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan kemudahan pendidikan di Melaka dapat ditambah baik, khususnya dalam menghadapi pertambahan keperluan bilik darjah bagi sesi persekolahan akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.