LTdL 2026: Pickrell rampas kejuaraan peringkat keenam

Foto RTM

REMBAU, 2 Oktober –Pelumba Modern Adventure Pro Cycling, Riley Pickrell muncul juara Peringkat Keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 selepas mengungguli perlumbaan sejauh 121.3 kilometer dari Pandan Indah ke Rembau, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lennart Jasch terus menguasai jersi oren keseluruhan dengan catatan 21 jam 38 minit 39 saat.
  • Matteo Malucelli kekal pemimpin jersi biru Raja Pecut dengan 44 mata, diikuti Pickrell (39) dan Van Den Boer (20).
  • Caja Rural-Seguros RGA mendahului saingan berpasukan, manakala Nusantara Cycling Team unggul dalam kategori pasukan Asia.

Pelumba Kanada itu menamatkan perlumbaan dalam catatan masa 2 jam 40 minit 6 saat, mengatasi pendahulu keseluruhan dari Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch, yang menamatkan saingan di kelompok peloton.

Matteo Malucelli dari XDS Astana Team menduduki tempat kedua, manakala Seppe Van Den Boer dari Tudor Pro Cycling Team melengkapkan kelompok tiga terbaik.

Komisar perlumbaan memberikan masa sama, 2:40:06 saat, kepada 89 daripada 110 pelumba selepas mereka melintasi garisan penamat secara berkelompok.

Dalam persaingan jersi oren, Jasch terus menguasai kedudukan keseluruhan dengan catatan 21 jam 38 minit 39 saat.

Pelumba Sepanyol, Jan Castellon Ribalt dari Caja Rural-Seguros RGA berada di tempat kedua dengan ketinggalan 42 saat, manakala Jose Manuel Diaz Gallego dari Burgos-Burpellet-BH di tempat ketiga dengan perbezaan 1 minit 20 saat.

Malucelli pula terus menguasai jersi biru selaku Raja Pecut dengan 44 mata, diikuti Pickrell dengan 39 mata dan Van Den Boer 20 mata.

Jasch turut mengekalkan jersi polka dot selaku Raja Bukit selepas mengumpul 45 mata, mengatasi Petr Rikunov dari Wheeltop Rotor Chengdu Team dengan 41 mata dan Castellon yang mengumpul 26 mata.

Sementara itu, Yuhi Todome dari Aisan Racing Team kekal sebagai pelumba Asia terbaik untuk menyarung jersi putih dengan catatan keseluruhan 21:46:00 saat.

Pelumba St George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao menjadi pelumba Malaysia terbaik dalam kedudukan berkenaan di tempat kedua dengan catatan 21:49:44 saat, manakala Tsen Ren Han dari Malaysia National Team di tempat ketiga dengan 21:51:25 saat.

Dalam saingan berpasukan, Caja Rural-Seguros RGA mendahului keseluruhan dengan catatan 65:07:03 saat, diikuti Unibet Rose Rockets dan Bardiani CSF 7 Saber.

Nusantara Cycling Team pula mendahului kategori pasukan Asia dengan catatan 65:47:24 saat, manakala Malaysia National Team di tempat kedua dengan 66:03:41 saat.

Pelumba Malaysia Pro Cycling, Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi muncul pelumba negara terbaik pada Peringkat Keenam selepas mencatat masa 2:40:06 saat.

Dengan dua peringkat masih berbaki, Jasch terus berada di posisi utama untuk mempertahankan jersi oren menjelang saingan penutup LTdL 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.