MoU SPRM, MCMC perluas impak pencegahan rasuah, pengukuhan integriti

Inisiatif berpotensi diperluaskan kepada pihak industri dan pemegang taruh berkaitan/Foto FB SPRM

Cyberjaya, 2 Oktober – Kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah serta pemerkasaan integriti dimeterai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan rentas agensi selaras melalui perkongsian kepakaran penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat dan pencegahan rasuah.
  • Fokus mendepani cabaran digital termasuk penyiasatan siber, pengurusan maklumat dan pengurusan risiko.
  • Perkongsian amalan terbaik tatakelola, integriti dan pengurusan risiko untuk memperkukuh keupayaan mengenal pasti serta menangani penyelewengan.
  • Pembangunan kapasiti melalui advokasi, latihan dan penggunaan AI; inisiatif boleh diperluas kepada industri dan pemegang taruh.

Kerjasama turut memberi tumpuan kepada usaha mendepani cabaran yang semakin kompleks dalam persekitaran digital, termasuk aspek penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat dan pengurusan risiko.

Menerusi kenyataan SPRM, MoU berkenaan menggariskan pendekatan rentas agensi yang lebih selaras menerusi perkongsian kepakaran dalam bidang penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat serta pencegahan rasuah.

“Selain itu, kedua-dua pihak berkongsi amalan terbaik berkaitan tatakelola, integriti dan pengurusan risiko bagi memperkukuh keupayaan dalam mengenal pasti serta menangani risiko salah laku dan penyelewengan.

“Kerjasama antara lain, merangkumi pembangunan pengetahuan dan kemahiran melalui program advokasi, latihan, perkongsian ilmu serta pembangunan kapasiti, termasuk memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

“Penggunaan teknologi berkenaan sedia diteroka bertujuan membantu usaha mengesan, mencegah dan mengurus risiko jenayah rasuah secara lebih sistematik dan berkesan, terutama membabitkan kes-kes jenayah siber yang turut dikaitkan dengan elemen kesalahan rasuah seperti penipuan atau perjudian dalam talian,”menurut kenyataan berkenaan.

Inisiatif berkenaan juga berpotensi diperluaskan kepada pihak industri dan pemegang taruh berkaitan bagi memperluas impak usaha pencegahan rasuah serta pengukuhan integriti dalam ekosistem digital negara.

Majlis pertukaran MoU telah disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din di Ibu Pejabat SKMM, di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.