
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan 200,000 pelitup muka kepada penunggang motosikal warga Malaysia yang bekerja di Singapura susulan jerebu di Johor.
- Sumbangan disalurkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan di KSAB dan BSI.
- Penyerahan simbolik disempurnakan Pengurus Kanan YSIJ Shah Reza Md Kanafe dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamuddin Abd Rahim.
- YSIJ bersama Eco-Shop menyumbang 100,000 unit manakala YRZSNJ menyumbang 100,000; pelitup muka diagihkan berkala kepada penunggang motosikal.
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kurniaan itu disampaikan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Serahan simbolik hari ini disempurnakan Pengurus Kanan YSIJ, Shah Reza Md Kanafe dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd Rahim kepada Penolong Komander Pintu Masuk AKPS KSAB, Wan Muhammad Firdaus Wan Kamari serta Ketua Unit Penguatkuasa AKPS BSI, Sapian Kamarudin.
Menurut Hishamuddin, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan mendalam Raja Permaisuri Agong terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya pekerja yang terdedah secara langsung kepada risiko masalah pernafasan akibat situasi jerebu yang semakin memburuk di Johor.
“Inisiatif sumbangan pelitup muka ini merupakan bukti keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat, terutamanya penunggang motosikal yang terpaksa berdepan dengan cuaca buruk dan jerebu berpanjangan ketika berulang-alik mencari rezeki setiap hari,” katanya.
YSIJ dengan kerjasama syarikat Eco-Shop menyumbang 100,000 pelitup muka, manakala YRZSNJ turut menyumbang 100,000 unit.
Kesemua 200,000 pelitup muka berkenaan akan diagihkan secara berkala kepada penunggang motosikal yang laluan harian mereka merentasi kedua-dua kompleks pintu masuk negara berkenaan.