
PUTRAJAYA, 2 Oktober – Perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal digantung berkuat kuasa 5 Oktober ini.
- Penggantungan dibuat kerana ketidakpatuhan terma perjanjian serta obligasi dan tanggungjawab belum diselesaikan.
- Semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran kumpulan terbabit akan digantung sepenuhnya.
- Orang ramai dinasihatkan guna saluran rasmi; Ujian KPP01 sebelum tarikh kuat kuasa masih dibenarkan; tempahan baharu melalui pusat ujian institut memandu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat selepas mengambil kira isu pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, tindakan berkenaan turut melibatkan kedudukan obligasi serta tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat terbabit.
“Selaras itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung sepenuhnya mulai 5 Oktober 2026,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mahu melakukan sebarang urusan berkaitan perkhidmatan JPJ dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi alternatif yang disediakan oleh pihak jabatan.
Beliau menambah, Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum tarikh kuat kuasa berkenaan (5 Oktober) masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.
“Bagi tempahan baharu yang dibuat mulai tarikh tersebut, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yuang disediakan di institut memandu seluruh negara.
“Manakala bagi pembayaran saman melibatkan bukan warganegara di pintu masuk sempadan Malaysia-Sinagpura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula 8 pagi hingga 10 malam,” jelas beliau melalui kenyataan sama.