Nobel Keamanan 2026: Kempen Trump beri tekanan kepada jawatankuasa

Foto AFP

STOCKHOLM, 1 Oktober – Kempen terbuka Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mendapatkan Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu menyebabkan Jawatankuasa Nobel berdepan tekanan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Keadaan itu sekali gus menjadikan pemilihan penerima tahun ini lebih sengit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kristian Berg Harpviken mengakui wujud usaha melobi dan kemungkinan cubaan memberi tekanan terhadap Jawatankuasa Nobel.
  • Pakar menyarankan jawatankuasa mungkin memilih pemenang yang mendapat sokongan lebih meluas untuk elakkan kontroversi.
  • Cadangan termasuk anugerah bersama kepada Save the Children dan aktivis Mykola Kuleba bagi isu kanak-kanak Ukraine.
  • Calon lain disebut: Emergency Response Rooms Sudan, Committee to Protect Journalists, Stesen Angkasa Antarabangsa, serta nama kontroversi lain.

Pakar berpendapat keadaan itu mungkin mendorong jawatankuasa kelima-lima anggota berkenaan memilih penerima yang mendapat sokongan lebih meluas apabila bakal pemenang diumumkan pada 9 Oktober.

Setiausaha Jawatankuasa Nobel, Kristian Berg Harpviken, berkata pihaknya menyedari terdapat usaha melobi dan kemungkinan cubaan memberi tekanan terhadap jawatankuasa.

“Sentiasa ada banyak lobi dan akhirnya mungkin juga cubaan untuk memberi tekanan kepada jawatankuasa. Jadi dalam satu aspek, kami sudah biasa dengan perkara itu,” katanya kepada AFP.

Tekanan terhadap jawatankuasa meningkat tahun lalu apabila Trump secara terbuka menyuarakan hasrat untuk menerima anugerah berkenaan.

Pemenang Nobel Keamanan tahun lalu, pemimpin pembangkang Venezuela Maria Corina Machado, kemudiannya menyerahkan pingat emas Nobel miliknya kepada Trump selepas menyifatkan beliau layak menerimanya susulan penangkapan bekas Presiden Nicolas Maduro.

Pemangku Pengarah Peace Research Institute of Oslo, Haakon Gjerlow, berkata jawatankuasa mungkin memilih penerima yang kurang kontroversi tahun ini.

Beliau mencadangkan anugerah bersama kepada Save the Children dan aktivis hak kanak-kanak Ukraine, Mykola Kuleba, yang memperjuangkan usaha membawa pulang kanak-kanak Ukraine yang didakwa dibawa ke Rusia dari wilayah diduduki.

Pilihan itu juga mempunyai kaitan dengan Melania Trump yang pada 2025 menulis surat kepada Presiden Rusia Vladimir Putin bagi menggesa pembebasan kanak-kanak Ukraine.

Antara calon lain yang disebut Gjerlow ialah Emergency Response Rooms (ERR) di Sudan, rangkaian sukarelawan yang membantu penduduk berdepan perang dan kebuluran, serta Committee to Protect Journalists (CPJ).

Stesen Angkasa Antarabangsa turut disenaraikan sebagai antara pilihan.

Dalam perkembangan berkaitan, antara calon lain yang disebut sekiranya jawatankuasa memilih penerima yang berpotensi mencetuskan pertembungan dengan Trump ialah Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Pope Leo XIV.

Sementara itu, perhatian turut terarah kepada Hadiah Nobel Kesusasteraan yang akan diumumkan pada 8 Oktober.

Selepas penulis Hungary Laszlo Krasznahorkai menerima anugerah itu tahun lalu, beberapa pengkritik sastera yang ditemu bual AFP menjangkakan Akademi Sweden mungkin memilih penulis wanita, termasuk dari Amerika Latin.

Pengkritik sastera radio awam Sweden SR, Lina Kalmteg, berkata generasi baharu penulis wanita Amerika Latin semakin mendapat perhatian selepas era penulis lelaki yang dikaitkan dengan aliran realisme magis.

Antara nama yang disebut ialah penulis Argentina Samanta Schweblin, Jamaica Kincaid, Gerald Murnane, Alexis Wright, Thomas Pynchon dan Cristina Rivera Garza.

Musim Hadiah Nobel bermula Isnin dengan pengumuman kategori perubatan, diikuti fizik pada Selasa, kimia pada Rabu dan ekonomi pada 13 Oktober.

Setiap penerima Nobel menerima diploma, pingat emas dan wang tunai kira-kira AS$1.2 juta (RM5.1 juta), yang dikongsi jika anugerah diberikan kepada lebih seorang penerima. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.