Peguam Negara Bolivia ditahan selepas AS tarik balik visa

Foto AFP

SUCRE. 1 Oktober – Polis Bolivia menahan Peguam Negara, Roger Mariaca pada Rabu, dua hari selepas Amerika Syarikat (AS) membatalkan visanya berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah, menurut sumber kerajaan kepada AFP.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendakwa Raya Santa Cruz Alberto Zeballos, yang dikenakan sekatan oleh Washington, turut ditahan menurut laporan media tempatan.
  • Washington mendakwa Mariaca menerima rasuah untuk memudahkan pengedaran dadah dan membantu penjenayah mengelak tindakan undang-undang.
  • Mariaca menafikan dakwaan, menyifatkan tindakan AS sebagai campur tangan dan tekanan politik susulan siasatan yang dijalankannya.

“Penahanan Pendakwa Raya Mariaca telah disahkan,” kata sumber Kementerian Kerajaan Bolivia yang enggan namanya didedahkan.

Pendakwa Raya Santa Cruz Alberto Zeballos, yang turut dikenakan sekatan oleh Washington, juga ditahan, lapor media tempatan.

Kedua-duanya antara 20 individu dari Bolivia, Colombia dan Ecuador yang didakwa Jabatan Negara AS minggu ini terbabit dalam rasuah, mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah atau berkomplot menentang kerajaan masing-masing.

Polis turut menyerbu pejabat pendakwa raya di Sucre pada Rabu, seperti disiarkan secara langsung menerusi akaun media sosial institusi berkenaan.

“Kami mengecam di hadapan seluruh rakyat Bolivia tindakan campur tangan yang dilakukan secara haram ini,” kata Ketua Komunikasi pejabat berkenaan, Claudia Pardo, ketika beliau dan beberapa kakitangan dikelilingi anggota polis bertopeng dalam siaran berkenaan.

Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya Santa Cruz belum memberikan maklum balas kepada permintaan AFP untuk mengulas perkara itu.

Washington sebelum ini mendakwa Mariaca menerima “rasuah bagi memudahkan pengedaran dadah dan membantu penjenayah berbahaya mengelak daripada tindakan undang-undang.”

Bagaimanapun, Mariaca menafikan dakwaan itu pada Isnin dan menyifatkan keputusan AS berkenaan sebagai tindakan “campur tangan” serta “tekanan politik” susulan siasatan yang dijalankannya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.