
KUALA LUMPUR, 20 November – Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat didorong oleh sentimen menghindari risiko global yang kembali meningkat, dengan sektor teknologi menjadi perhatian berikutan kemungkinan pelanggaran peraturan eksport cip Amerika Syarikat (AS).
- Pasaran secara menyeluruh negatif; kaunter rugi mengatasi kaunter untung, banyak kaunter tidak diniagakan atau digantung.
- Wall Street merosot, indeks utama jatuh susulan kejatuhan saham teknologi dan kebimbangan kenaikan kadar faedah Fed serta isu perundangan Nvidia.
- Walaupun sentimen berhati-hati, prestasi pendapatan syarikat tertentu boleh menawarkan peluang pelaburan terpilih.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 9.59 mata kepada 1,556.57 daripada 1,566.16 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 9.24 mata kepada 1,556.92.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 358 berbanding 50 manakala 145 kaunter tidak berubah, 2,287 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 185.73 juta unit bernilai RM96.66 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd memaklumkan Wall Street merosot berikutan saham teknologi, barangan pengguna bukan keperluan dan penjagaan kesihatan rendah, dengan indeks Nasdaq, Dow dan S&P 500, masing-masing menurun 2.25 peratus, 2.19 peratus dan 2.02 peratus.
Sentimen pasaran Wall Street dijangka kekal berhati-hati berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah seterusnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, selain ketidaktentuan berkaitan aspek perundangan dan kawal selia yang menyelubungi Nvidia, dengan Ketua Eksekutif Jensen Huang dijadualkan hadir di hadapan Kongres pada 1 Disember, menambah kebimbangan dalam kalangan pelabur.
“(Oleh itu), FBM KLCI diniagakan secara berhati-hati dalam sentimen menghindari risiko global yang kembali meningkat, dengan sektor teknologi menjadi perhatian berikutan kemungkinan pelanggaran peraturan eksport cip AS.
“Bagaimanapun, prestasi pendapatan syarikat tertentu berpotensi menawarkan pelbagai peluang,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun dua sen kepada RM9.91, Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.49, CIMB berkurangan satu sen kepada RM7.01, Tenaga Nasional menyusut enam sen kepada RM12.54 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.90.
Dalam dagangan aktif, Dagang Nexhange menambah 2.5 sen kepada 41.5 sen, MMAG Holdings meningkat setengah sen kepada 1.5 sen, Kinergy Advancement dan NWE Resources, masing-masing mendatar pada 37 sen dan 16.5 sen manakala Capital A Bhd menurun setengah sen kepada 22.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, KESM Industries meningkat sembilan sen kepada RM4.10, RCE Capital dan MHC Plantations, masing-masing menambah tiga sen kepada 83.5 sen dan RM1.70, Wasco Bhd naik 2.5 sen kepada 65.5 sen dan Eco World Development menokok 20 sen kepada RM1.71.
Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries menurun RM1.28 sen kepada RM35.22. UWC merosot 39 sen kepada RM5.44, ViTrox berkurangan 35 sen kepada RM8.96, MI Technovation menyusut 32 sen kepada RM5.59 dan Kelington Group menurun 23 sen kepada RM6.90.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 92.81 mata kepada 11,510.32, Indeks FBM Top 100 berkurangan 88.99 mata kepada 11,355.99 dan Indeks FBM ACE menurun 86.98 mata kepada 4,824.53.
Indeks FBM Emas Shariah menyusut 114.06 mata kepada 11,440.56 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 208.16 mata kepada 16,363.78.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 59.70 mata kepada 18,293.78, Indeks Perladangan menurun 18.26 mata kepada 8,733.54, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 2.45 mata kepada 161.68 dan Indeks Tenaga menyusut 7.52 mata kepada 749.66. – BERNAMA