
SEPANG, 20 November – Malaysia Airlines meraih penarafan lima bintang dalam kategori syarikat penerbangan global pada Anugerah APEX 2027, meningkat daripada empat bintang sebelum ini.
- Malaysia Airlines terima pengiktirafan Perkhidmatan Kabin Terbaik di Asia Tenggara pada APEX 2027.
- Presiden Kumpulan, Kapten Nasaruddin, tekankan komitmen kepada pengalaman penumpang menyeluruh sebelum ketibaan hingga selepas tiba.
- Penarafan APEX berdasarkan maklum balas penumpang yang disahkan juruaudit bebas; menilai keselesaan tempat duduk, perkhidmatan, makanan dan hiburan serta Wi-Fi.
- Malaysia Airlines perluas Wi-Fi dalam penerbangan kepada 49 pesawat dan sasar kelompok 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030.
Syarikat penerbangan nasional itu turut menerima pengiktirafan bagi kategori Perkhidmatan Kabin Terbaik di Asia Tenggara pada majlis yang berlangsung di Singapura, semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, komitmen syarikat terhadap pengalaman penumpang merangkumi keseluruhan perjalanan, bermula sebelum ketibaan di lapangan terbang sehingga selepas tiba di destinasi.
“Perkhidmatan kepada penumpang bermula sebelum mereka tiba di lapangan terbang dan berterusan selepas mereka mendarat.
“Penarafan APEX itu berdasarkan maklum balas penumpang yang disahkan oleh juruaudit bebas, merangkumi aspek keselesaan tempat duduk, perkhidmatan kabin, makanan dan minuman serta kemudahan hiburan dan Wi-Fi dalam pesawat,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Dalam usaha meningkatkan pengalaman perjalanan, Malaysia Airlines turut memperluas kemudahan internet dalam penerbangan dengan 49 pesawatnya kini dilengkapi perkhidmatan Wi-Fi.
Pengiktirafan berkenaan menjadi antara pencapaian yang menyokong aspirasi Malaysia Airlines untuk berada dalam kelompok 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030.