Dakwaan RM2.1 bilion KKDW: SPRM belum terima aduan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 1 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan berjumlah RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM hanya memperoleh maklumat melalui laporan media dan enggan memberi komen sehingga ada aduan rasmi.
  • Apabila diadukan secara rasmi, SPRM akan memulakan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
  • SPRM menafikan menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada anak M. Saravanan; kehadiran kanak-kanak itu adalah atas budi bicara ibu bapa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya hanya mengetahui dakwaan berkenaan menerusi laporan media dan belum menerima sebarang aduan rasmi untuk tindakan lanjut.

“Kita baca melalui media massa sahaja. Belum ada lagi secara rasmi. Jadi saya tidak fikir wajar untuk saya komen.

“Apabila perkara itu diadukan secara rasmi kepada pihak kami, sudah tentu pihak kami akan masuk menyiasat,” katanya pada sidang media Sambutan Ulang Tahun ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan agensi itu di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Abd Halim menafikan SPRM menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada anak lelaki bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau turut menjelaskan dakwaan kononnya SPRM menuntut kehadiran fizikal kanak-kanak berkenaan ke ibu pejabat agensi itu adalah tidak tepat.

Menurutnya, kehadiran kanak-kanak terbabit ke ibu pejabat SPRM Isnin lalu bukan atas arahan atau panggilan agensi, sebaliknya dibuat atas budi bicara ibu bapanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.