Kerajaan bangunkan Indeks Ketegangan Masyarakat, kesan awal risiko konflik

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kerajaan terus memperkukuh mekanisme pengesanan awal dan pengurusan isu perpaduan menerusi Indeks Ketegangan Masyarakat yang sedang dibangunkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks Ketegangan Masyarakat berfungsi sebagai alat pemantauan untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan membolehkan intervensi awal dilaksanakan.
  • Kementerian menerajui platform integrasi dan menilai penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional untuk reformasi dasar dan perundangan.
  • Pengurusan isu melibatkan JK HARMONI, mesyuarat negeri, JPIP dan sistem e-SEP dengan kerjasama 12 kementerian serta agensi keselamatan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata indeks berkenaan berfungsi sebagai instrumen pemantauan untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi sebelum sebarang konflik antara kaum dan agama tercetus.

Katanya langkah tersebut sekali gus membolehkan tindakan intervensi awal dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Kementerian komited mewujudkan ekosistem dan platform integrasi yang dapat meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Menerusi Indeks Ketegangan Masyarakat, kita dapat mengenal pasti kawasan berisiko lebih awal untuk langkah penyelesaian pantas. Pada masa sama, cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional masih dalam penelitian bagi meneliti keperluan reformasi dasar dan perundangan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Senator Che Alias Hamid pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Aaron menjelaskan kementerian turut menyelaras pelbagai platform utama, antaranya Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikannyabersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Di peringkat negeri, Mesyuarat Jawatankuasa Perpaduan menjadi platform strategik antara kementerian dan kerajaan negeri bagi menyelaras dasar perpaduan.

“Manakala di peringkat pengurusan isu berbangkit, Jawatankuasa Pengurusan Isu-isu Perpaduan (JPIP) dan Sistem Pengurusan Isu Perpaduan (e-SEP) digerakkan secara sistematik dengan melibatkan 12 kementerian, jabatan serta agensi keselamatan,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai penularan kandungan berunsur kebencian dan isu 3R (Agama, Bangsa, Diraja), beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.