Tanah diperkasa sebagai aset strategik pacu ekonomi hijau dan keterjaminan makanan

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Julai – Kerajaan memperkukuh peranan tanah sebagai aset strategik negara dalam memacu ekonomi hijau, menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan hasil negara menerusi pengurusan tanah yang lebih mampan dan berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tanah sebagai instrumen strategik untuk daya tahan iklim, pemeliharaan biodiversiti dan sokongan peralihan ke ekonomi mampan.
  • Menjana kredit karbon melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi melibatkan hutan simpan, tanah lembap dan tanah terbiar terpulih.
  • Mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian bagi capai kadar sara diri beras 80% dan sayur 79% menjelang 2030.
  • Pemulihan dan pembangunan semula sawah terbiar serta pengurusan aset sistematik tingkatkan pengeluaran dan hasil kewangan negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata usaha itu dilaksanakan melalui Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan, pemulihan tanah pertanian yang tidak diusahakan serta pengurusan aset tanah yang lebih cekap bagi mewujudkan nilai ekonomi baharu tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.

“Peranan tanah kini melangkaui fungsi tradisionalnya, menjadi instrumen strategik dalam memperkukuh daya tahan iklim, memelihara biodiversiti serta menyokong peralihan negara ke arah ekonomi mampan”, katanya ketika merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan Hari Tanah Negara Ke-10 Tahun 2026 di Putrajaya.

Beliau berkata, tanah kini bukan lagi sekadar aset pembangunan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam menjana kredit karbon menerusi pendekatan penyelesaian berasaskan alam semulajadi melibatkan hutan simpan kekal, kawasan tanah lembap dan tanah terbiar yang dipulihkan.

Pada masa sama, Datuk Seri Arthur berkata kerajaan komited mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian bagi menyokong sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras sebanyak 80 peratus dan sayur-sayuran sebanyak 79 peratus menjelang 2030.

Katanya, pembangunan semula kira-kira 20,000 hektar kawasan sawah terbiar mampu meningkatkan pengeluaran beras tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan import.

Pengurusan tanah yang lebih sistematik turut memberi pulangan lebih tinggi kepada negara apabila kutipan hasil penyewaan tanah persekutuan meningkat daripada RM7 juta pada 2021 kepada RM38 juta pada 2025, hasil pajakan meningkat daripada RM53 juta kepada RM78 juta, manakala fi pelesenan pasir laut melonjak daripada RM11 juta kepada RM75 juta dalam tempoh sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.