Pihak bertanggungjawab sebabkan kerugian TH akan dibawa ke muka pengadilan – PM

Foto BERNAMA

JELEBU, 29 Julai – Individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian Tabung Haji (TH) berdasarkan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan hari ini akan dibawa ke muka pengadilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri arah siasatan menyeluruh oleh PDRM, SPRM, AMLA dan Bank Negara terhadap unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa.
  • Jika bukti ditemukan, beliau menegaskan pihak terlibat akan didakwa dan dihukum mengikut peruntukan undang-undang.
  • Semasa lawatan kempen di DUN Chennah, Anwar memuji Anthony Loke serta umum kajian membawa kenaikan gaji penjawat awam tertinggi.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa bertanggungjawab.

“Orang yang bertanggungjawab yang menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh PDRM, SPRM, AMLA, Bank Negara, semua akan disiasat.

“Kalau ada bukti, dakwa, biar masuk mahkamah, masuk penjara, itu aturan negara ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama-Sama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Simpang Durian, di sini hari ini.

Menerusi majlis itu, beliau turut menyantuni para penduduk di sekitar kawasan tersebut sebelum berangkat ke lokasi seterusnya di Paroi.

Program bertempat di DUN Chennah itu merupakan lokasi pertama lawatan Datuk Seri Anwar sempena dengan kempen PRN Negeri Sembilan.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Anthony atas kepimpinan dan peranan beliau sebagai ‘orang kanan’ dalam pentadbiran negara.

Tambah Datuk Seri Anwar, pelbagai kajian dilaksanakan bagi menyelesaikan isu berkaitan gaji penjawat awam.

“Saya berasa kasihan akan status kenaikan gaji penjawat awam yang tidak mengalami kenaikan selama 12 tahun.

“Kini, di bawah kepimpinan saya, hasil daripada kajian yang dijalankan, Malaysia telah melihat lonjakan kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.