Johor negeri perintis kerangka logistik halal menerusi Pelan Kemajuan Halal Johor 2030

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid merasmikan penutupan Konvensyen Logistik Halal Johor 2026 hari ini./ RTM

JOHOR BAHRU, 29 Julai – Johor mencipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia membangunkan kerangka sistem logistik halal menerusi Pelan Kemajuan Halal Johor 2030, bagi memastikan rantaian bekalan produk halal mematuhi piawaian syariah secara menyeluruh daripada peringkat pengeluar sehingga kepada pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerangka logistik halal akan menjadi syarat bagi pengeluar, pengimport dan pengeksport untuk memperoleh pengiktirafan halal dan meningkatkan keyakinan pengguna.
  • Pelaksanaan merangkumi pelabuhan, lapangan terbang, rangkaian kereta api dan operasi rentas sempadan disokong pusat data, teknologi AI serta kelebihan JS-SEZ.
  • Resolusi Konvensyen Logistik Halal akan diperhalusi dan dibentangkan kepada kerajaan negeri sebagai asas dasar baharu serta perancangan Belanjawan Johor 2027.
  • Logistik halal penting untuk mengelakkan pencemaran produk sepanjang penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran serta memperkukuh daya saing sijil halal Malaysia.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerangka itu akan dijadikan antara syarat kepada pengeluar, pengimport dan pengeksport yang ingin memperoleh pengiktirafan halal, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap integriti produk halal di pasaran.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem logistik halal bukan sekadar melibatkan operasi di pelabuhan, malah merangkumi lapangan terbang, rangkaian kereta api serta operasi rentas sempadan yang disokong pembangunan pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kelebihan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Banyak produk dihantar dalam satu penghantaran yang sama, termasuk bercampur dengan produk tidak halal. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan khususnya dalam kalangan pengguna Islam di Malaysia.

“Tanggungjawab Kerajaan Negeri Johor adalah memastikan selepas ini wujud satu sistem logistik halal yang mempunyai kaedah dan piawaian yang diguna pakai oleh semua pengeluar, pengimport serta pengeksport,” katanya kepada media selepas merasmikan penutupan Konvensyen Logistik Halal Johor 2026 di sini, hari ini.

Mohd Fared turut memaklumkan, segala resolusi yang dipersetujui sepanjang konvensyen itu akan diperhalusi sebelum dibentangkan kepada kerajaan negeri sebagai antara asas penyediaan dasar baharu serta perancangan Belanjawan Johor 2027.

Inisiatif berkenaan dilihat selari dengan aspirasi Johor untuk muncul sebagai hab ekonomi dan halal bertaraf antarabangsa, khususnya menerusi pembangunan JS-SEZ yang dijangka merancakkan lagi aktiviti perdagangan, pelaburan dan logistik antara Malaysia dengan Singapura.

Logistik halal menjadi antara komponen penting dalam ekosistem pensijilan halal kerana memastikan produk tidak tercemar atau bercampur dengan bahan tidak halal sepanjang proses penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran.

Malaysia ketika ini diiktiraf sebagai antara peneraju industri halal global menerusi piawaian pensijilan halal yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala pembangunan sektor logistik halal terus diberi penekanan bagi memperkukuh daya saing negara dalam pasaran halal antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.