
SEBERANG PERAI, 26 Oktober – Sebahagian besar motosikal operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencecah lebih 30 tahun, menjadikan penggantian aset itu satu keperluan bagi menjamin kelancaran tugas penguatkuasaan serta keselamatan pengguna jalan raya.
- JSPT bersama Jabatan Logistik dan Teknologi menyediakan kertas cadangan kepada kerajaan, termasuk pertimbangan penyewaan aset.
- Hanya model GTR dan FJR lebih baharu; selebihnya berusia sebelum 2008, menyukarkan penyelenggaraan dan mendapatkan alat ganti.
- Kerjasama dengan industri seperti Mforce mengurangkan beban penyelenggaraan, membolehkan anggota fokus penuh kepada penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM sedang menyediakan kertas cadangan kepada kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang, termasuk mempertimbangkan kaedah penyewaan (leasing) aset.
“Boleh dikatakan majoriti motosikal yang digunakan sudah berusia lebih lama, dengan hanya model GTR dan FJR yang lebih baharu, manakala selebihnya berusia lebih lama daripada tahun 2008.
“Saya sedang menyediakan pelan tindakan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Keutamaan kita adalah untuk menjaga keselamatan jalan raya. Jika motosikal yang digunakan sering mengalami kerosakan, bagaimana kita hendak memastikan keselamatan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya?
“Sehubungan dengan itu, saya mengambil inisiatif bersama pihak JLOC untuk memikirkan pendekatan terbaik bagi menyediakan cadangan kepada kerajaan. Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Motosikal bagi Program Proof of Concept (PoC) di Valdor, di sini, hari ini.
Melalui kerjasama dengan pihak industri seperti Mforce, PDRM dapat menyelesaikan masalah bebanan penyelenggaraan serta kesukaran mendapatkan alat ganti jentera yang rosak, sekali gus membolehkan anggota memberi fokus sepenuhnya kepada tugasan penguatkuasaan.