
SEBARANG PERAI, 26 Oktober – Ujian Proof of Concept (POC) selama tiga bulan dilaksanakan ke atas motosikal baharu yang diimport dari China bagi menilai kesesuainnya sebagai aset baharu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Ujian POC menilai ketahanan, keselesaan serta kecekapan penggunaan bahan api motosikal.
- Mforce Bike Holdings menyerahkan 16 unit daripada tiga model, enam unit bagi fasa awal.
- Polis memohon tempoh percubaan lebih panjang daripada kebiasaan dua minggu; Mforce bersetuju.
- Tempoh ujian dilanjutkan untuk memastikan jentera tahan lasak mengikut keperluan operasi sebenar.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, langkah itu dilakukan bagi ujian ketahanan, keselesaan, serta kecekapan penggunaan bahan api motosikal berkenaan.
Syarikat tempatan, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. akan menyerahkan 16 unit motosikal daripada tiga model utama, iaitu CFMoto 1250TR-G, Brixton K750GT dan Moto Morini X-Cape 1200, dengan enam unit daripadanya telah diserahkan untuk menjalani ujian POC bagi fasa awal.
“Kebiasaannya, tempoh percubaan atau POC hanya diberikan selama dua minggu. Namun, saya memohon pihak Mforce memberikan tempoh lebih panjang kepada polis bagi menguji ketahanan, keselesaan motosikal berkenaan dari semua aspek.
“Alhamdulillah, pihak Mforce bersetuju memberikan tempoh percubaan selama tiga bulan. Sebelum ini, Harley-Davidson juga memberikan tempoh yang sama kepada kami untuk menguji motosikal mereka,,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Motosikal bagi Program Proof of Concept (PoC) di Valdor, di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Muhammed Hasbullah, langkah itu merupakan kali pertama pihak polis menguji motosikal buatan China selepas sekian lama bergantung pada kenderaan keluaran Jepun dan Jerman.
Tempoh ujian dilanjutkan bagi memastikan jentera berkenaan benar-benar tahan lasak mengikut keperluan operasi sebenar polis di lapangan.