Masalah liputan di RPS Pos Kemar dijangka selesai suku pertama 2027

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi meninjau kawasan terjejas bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta ADUN Temengor, Datuk Salbiah Mohamed / Foto RTM

GERIK, 26 Oktober – Masalah liputan telekomunikasi di beberapa kampung di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Kemar di sini dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku pertama tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyedia perkhidmatan akan melaras semula arah antena dan melakukan kerja naik taraf di kawasan terjejas.
  • Pemeriksaan mendapati kedudukan antena tidak tepat dan halangan bukit menjadi punca gangguan liputan.
  • RPS Pos Kemar merangkumi 15 kampung lebih 5,000 penduduk; orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi NEXUS untuk laporan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata penyedia perkhidmatan akan melaras semula arah antena serta melaksanakan kerja naik taraf di kawasan terjejas.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedudukan antena yang kurang tepat serta halangan bukit antara punca gangguan liputan di kawasan berkenaan.

“Dua hingga tiga buah kampung lagi yang mengalami masalah ketersambungan rangkaian yang lemah dengan liputan isyarat
hanya menunjukkan dua bar termasuk di kawasan sekolah ini.

“Apabila kita turun ke bahagian bawah tadi, didapati bahawa isyarat rangkaian hanya menunjukkan satu bar sahaja. Perkara ini diambil maklum syarikat telekomunikasi dan mereka akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan terjejas bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta ADUN Temengor, Datuk Salbiah Mohamed di sini.

RPS Pos Kemar merangkumi 15 kampung dengan lebih 5,000 penduduk.

Selain itu, Mohd Azlan turut menggalakkan orang ramai  menggunakan aplikasi NEXUS bagi membantu MCMC mengenal pasti masalah liputan di kawasan masing-masing.

“Maklumat menerusi aplikasi itu membolehkan MCMC menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan tindakan lanjut daripada penyedia perkhidmatan,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.