
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Kerajaan memberi kebebasan kepada setiap pemegang konsesi lebuh raya untuk memilih sistem pembayaran tol bersesuaian dengan keperluan operasi masing-masing, selaras dengan pendekatan perniagaan kepada perniagaan (B2B).
- Pemegang konsesi boleh menentukan teknologi pembayaran tol sendiri, termasuk menggunakan platform digital JustGO yang dibangunkan oleh PLUS.
- Pelaksanaan sistem ditanggung pemegang konsesi tanpa kos kepada kerajaan, dan keputusan pelaksanaan diserahkan sepenuhnya kepada mereka.
- JustGO berasaskan ANPR menyokong konsep MLFF, membolehkan kenderaan lalu tanpa berhenti, melancarkan aliran trafik dan kurangkan risiko kemalangan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pendekatan itu membolehkan pemegang konsesi menentukan teknologi yang ingin digunakan, termasuk platform pembayaran tol digital JustGO yang dibangunkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Menurut beliau, pelaksanaan sistem berkenaan tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan, sebaliknya keputusan pemilihan dan pelaksanaannya diserahkan sepenuhnya kepada pemegang konsesi.
“Dalam hal ini, PLUS membangunkan sistemnya sendiri, manakala pemegang konsesi lain bebas menentukan sama ada mahu menggunakan sistem JustGO atau memilih sistem alternatif yang tersedia di pasaran.
“Sehubungan itu, PLUS bebas menawarkan sistem berkenaan kepada pemegang konsesi lain secara sukarela, selaras dengan dasar kerajaan yang memberi kebebasan kepada setiap konsesi untuk memilih teknologi masing-masing,” katanya.
JustGO merupakan platform pembayaran tol digital berasaskan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan (ANPR) yang menyokong peralihan kepada konsep Multi-Lane Free Flow (MLFF).
Teknologi itu membolehkan kenderaan melalui plaza tol tanpa perlu berhenti, sekali gus berpotensi melancarkan aliran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan.
Pendekatan B2B berkenaan mencerminkan dasar kerajaan yang memberi ruang kepada pemegang konsesi meneroka dan memilih penyelesaian teknologi bersesuaian, tanpa mewujudkan kebergantungan kepada satu sistem pembayaran tol sahaja.
Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke-13 dan Kongres Jalan Asia Pasifik Ke-6 di Pusat Dagangan Dunia, di sini.
Persidangan selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta, termasuk 32 delegasi antarabangsa dari 10 negara yang terdiri daripada golongan profesional, pemain industri, ahli akademik dan jurutera muda.
Sebanyak 121 kertas kerja teknikal dibentangkan, melibatkan 98 pembentang tempatan dan 23 pembentang antarabangsa menerusi 25 sesi selari serta tiga bengkel teknikal yang merangkumi 10 subtema utama kejuruteraan jalan.
Pada majlis penutup, tiga anugerah turut disampaikan, masing-masing bagi kategori Best Technical Paper Award, MRC-IIE 2026 dan YEP Artificial Intelligence (AI) Apps Design Competition 2026.
Penganjuran bersama Kongres Jalan Asia Pasifik Ke-6 itu turut memperkukuh perkongsian kepakaran, teknologi dan inovasi serta kerjasama antarabangsa dalam menyokong pembangunan infrastruktur jalan yang berkualiti, berdaya tahan dan lestari.
Usaha itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh infrastruktur jalan yang mampan dan berdaya tahan, selain memastikan kesediaannya memenuhi keperluan masa depan seiring dengan landskap pembangunan yang semakin kompleks.