
RANTAU PANJANG, 15 Oktober – Kegiatan seorang lelaki dipercayai menjual air ketum di sekitar Rantau Panjang akhirnya terbongkar apabila dia ditahan bersama 19 liter cecair disyaki air ketum semalam.
- Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan PGA kira-kira pukul 4 petang di Pengkalan Haram MCA, Rantau Panjang.
- Pemeriksaan kedua-dua motosikal menemui 38 plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum.
- Suspek dakwa bekalan dari seorang lelaki warga Thailand melalui pemandu perahu Sungai Golok; kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 4 petang di Pengkalan Haram MCA, Rantau Panjang.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, penahanan itu dilakukan selepas melihat suspek memindahkan bungkusan plastik hitam dari tepi sungai ke ruang simpanan dua motosikal.
“Menyedari kehadiran anggota keselamatan, lelaki itu cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan.
“Pemeriksaan terhadap kedua-dua motosikal suspek menemukan 38 plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 19 liter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Radzi, suspek turut memaklumkan air ketum itu dibeli pada harga RM8 seplastik sebelum dijual semula pada harga RM10 seplastik di sekitar Rantau Panjang.

Siasatan awal mendapati suspek mendakwa mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki warga Thailand melalui pemandu perahu di Sungai Golok.
PGA turut merampas kedua-dua motosikal berkenaan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,570.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.