
PUTRAJAYA, 15 Oktober – Pengurusan jerebu perlu dilaksanakan mengikut tahap risiko dan tindakan yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), bukannya menggunakan pendekatan sama bagi setiap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
- KPM membuat keputusan berdasarkan rundingan dengan KKM, JAS dan NADMA untuk tetapkan garis panduan pengurusan jerebu.
- Hentikan semua aktiviti luar apabila IPU melebihi 100; sekolah ditutup apabila bacaan IPU mencapai 200.
- Ibu bapa boleh tidak menghantar murid berisiko dengan memaklumkan sekolah; keputusan mesti imbangkan kesihatan dan pembelajaran.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk kembali menggunakan ketetapan dalam pelan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau menjelaskan, setiap tahap bacaan IPU memerlukan tindakan berbeza bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada jerebu.
“Cuma ada satu perkara yang penting untuk kita faham. Dalam menguruskan jerebu, setiap tahap bacaan IPU ada tindakan yang perlu diambil. Kita tak boleh anggap semua tahap risiko memerlukan tindakan yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, apabila bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan, manakala sekolah ditutup apabila bacaan mencecah 200.
Datuk Seri Fadhlina berkata, walaupun bacaan IPU 150 sudah dikategorikan sebagai tidak sihat, tindakan pengurusan jerebu perlu mengambil kira garis panduan yang ditetapkan bagi setiap tahap pencemaran.
Beliau turut mengakui kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, selain cabaran menguruskan penjagaan mereka apabila sekolah ditutup dan risiko ketinggalan dalam pembelajaran.
“Setiap keluarga ada keadaan dan cabaran masing-masing. Setiap pandangan yang diberikan tentu ada sebabnya. Cuma bila kita nak buat keputusan yang melibatkan berjuta-juta anak, ada perkara yang kita kena fikir betul-betul.
Soal jerebu ini bukan sekadar soal sekolah nak buka atau tutup. Kita bercakap tentang kesihatan, keadaan udara dan macam mana negara nak uruskan bencana,” katanya.
Sehubungan itu katanya, ibu bapa yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan ketidakhadiran kepada pihak sekolah.
Menurutnya, kelonggaran itu mengambil kira keadaan kesihatan murid yang berbeza, khususnya mereka yang menghidap asma atau mempunyai masalah pernafasan.
Kata Datuk Seri Fadhlina, keputusan berkaitan operasi sekolah perlu mengimbangi aspek kesihatan dan keselamatan murid dengan keperluan memastikan pembelajaran mereka tidak terus terganggu.
Tindakan ini diambil berdasarkan pengalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menunjukkan betapa sukarnya untuk memulihkan pembelajaran yang tertinggal.