
GEORGE TOWN, 15 Oktober- Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin didakwa atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM847,107.61 berkaitan projek pembinaan asrama di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim.
- Dakwaan: menerima suapan melalui Aliran Ilham daripada pengarah ATSH untuk melantik ATSH sebagai subkontraktor projek asrama menggunakan Sistem Binaan Industri.
- Didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM; kemungkinan hukuman hingga 20 tahun, denda minima lima kali suapan atau RM10,000; ikat jamin RM300,000.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima suapan melalui Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) daripada Pengarah ATSH Management Sdn Bhd (ATSH), Datuk Albert R. Suresh sebagai balasan melantik ATSH sebagai subkontraktor bagi menyiapkan kerja terbengkalai sebuah blok asrama 10 tingkat berserta kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan.
Projek itu melibatkan pembinaan menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) di sebahagian Lot 1210, Mukim 8, Bukit Panchor.
Tertuduh didakwa menerima suapan antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai 2026 di Bank Islam Bandar Baru Perda dengan nilai setiap suapan antara RM45.51 hingga RM244,620, menjadikan jumlah keseluruhan RM847,107.61.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar dan Lim Jin Hong mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh diwakili tujuh peguam termasuk Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Hasnal Rezua Merican dan Dr. Shamsher Singh Thind.
Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 8 Januari depan.