
MELAKA TENGAH, 15 Oktober – Sepasang kekasih ditahan selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sejauh 20 kilometer di sekitar Melaka, semalam.
- Ditahan di jalan mati berhampiran Masjid Saidina Umar Abdul Aziz, Kampung Sungai Putat, selepas meninggalkan kenderaan.
- Proton Saga merah dikesan mencurigakan berhampiran pangsapuri di Tengkera; suspek memecut laju, memandu berbahaya dan melawan arus.
- Seorang anggota polis cedera selepas berlaku pergelutan dengan suspek lelaki ketika proses tangkapan.
- Ujian air kencing positif methamphetamine; kedua-dua suspek mempunyai 19 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 39 dan 32 tahun, ditahan di jalan mati berhampiran Masjid Saidina Umar Abdul Aziz, Kampung Sungai Putat, selepas meninggalkan kenderaan dan cuba melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Halim Abas berkata, polis pada mulanya mengesan sebuah kereta Proton Saga berwarna merah dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah pangsapuri di Tengkera.
Menurutnya, suspek memecut laju ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan sebelum dikejar melalui beberapa laluan utama sekitar Melaka.
Suspek turut memandu secara berbahaya dan melawan arus bagi mengelakkan diri daripada ditahan.
Dalam kejadian itu, seorang anggota polis cedera selepas berlaku pergelutan dengan suspek lelaki ketika proses tangkapan.
“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 19 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah iaitu suspek lelaki lapan dan suspek wanita, 11 rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan.
Mereka direman selama empat hari sehingga 18 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.