IPU Klang cecah 193, hampiri kategori Sangat Tidak Sihat

Keadaan jerebu di Shah Alam baru-baru ini/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Sebanyak 36 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada kategori Tidak Sihat setakat pukul 12 tengah hari ini, meningkat daripada 34 stesen pada pukul 9 pagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Klang catat IPU 193, hanya lapan mata lagi ke kategori Sangat Tidak Sihat.
  • Johan Setia juga tinggi pada 191; beberapa kawasan Lembah Klang dan selatan Semenanjung catat bacaan membimbangkan.
  • Orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti luar, minum air mencukupi dan pakai pelitup muka sesuai untuk kurangkan risiko pernafasan.

Klang mencatat bacaan IPU tertinggi negara iaitu 193, hanya lapan mata di bawah paras 201 yang menandakan kategori Sangat Tidak Sihat.

Menurut data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Johan Setia turut merekodkan bacaan tinggi iaitu 191.

Beberapa kawasan lain di selatan Semenanjung dan Lembah Klang turut mencatat bacaan membimbangkan, termasuk Larkin dan Nilai (187), Bukit Rambai dan Batu Pahat (184) serta Seremban (183).

Kawasan lain dalam kategori Tidak Sihat ialah Shah Alam (180), Tangkak (179), Bandaraya Melaka (178), Port Dickson (177), Putrajaya dan Alor Gajah (176), Cheras (173), Banting (172), Tanjung Malim (171), Petaling Jaya (168), Kluang (166), Batu Muda (164), Segamat (162), Kuala Selangor (160) dan Kota Tinggi (158).

Di Pantai Timur, Temerloh merekodkan bacaan 156, Rompin (153) dan Jerantut (152), manakala Indera Mahkota mencatat 148.

Di Sarawak, Samarahan dan Serian merekodkan antara bacaan tertinggi iaitu masing-masing 153 dan 114.

Sementara itu, sebanyak 32 stesen mencatat bacaan pada kategori Sederhana, dengan Minden dan Paka masing-masing merekodkan IPU 97.

Tiada stesen pemantauan merekodkan kualiti udara pada kategori Baik setakat tengah hari ini.

Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memastikan pengambilan air mencukupi dan memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan risiko masalah pernafasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.