
GURUN, 15 Oktober -Seramai 14 lelaki termasuk dua remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Gurun, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang remaja lelaki berumur 18 yang mayatnya ditemui di Jalan Harvard, Gurun pada 8 Oktober lalu.
- Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.
- Tertuduh berusia antara 16 hingga 24 tahun dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Mangsa dipercayai dikurung dua hari, diseksa, digunting rambut dan dipukul dengan objek tumpul sehingga meninggal.
- Mahkamah menetapkan 23 Disember sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan kimia dan forensik.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.
Kesemua tertuduh bermur antara 16 tahun hingga 24 tahun ialah, Muhammad Asyraaf Muhammad Zaidi, 20 tahun, Muhammad Azrul Rahimi Muhamad Yusri, 18 tahun, Ahmad Izzul Irfan Ridduan, 21 tahun Muhammad Rhahimy Abdul Rashid, 19 tahun, Yusman Hakimi Yusmezal, 24, tahun Muhammad Zulfaqar Zulkarnain Khairol Fais, 21 tahun dan Muhammad Aiman Riduwan Abdullah 21 tahun.
Turut dituduh Ahmad Aiman Danial Ahmad Wizam, 21 tahun, Muhammad Adam Haris Rosdan, 21 tahun, Muhammad Muqkriz Azizan, 21 tahun, Muhammad Adam Iqbal Mohd Wazir, 19 tahun, Syafiq Afif Syarafuddin Abd Ghapar, 23 tahun serta dua remaja berumur 16 dan 17 tahun.
Kesemua suspek warga tempatan berusia di antara 16 dan 24 tahun itu, akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan membunuh.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama membunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, antara pukul 9 malam 5 Oktober dan 7.30 pagi 8 Oktober lepas, di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sungai Petani, Gurun.
Pendakwaan dikendalikan Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala tiga daripada tertuduh iaitu Muhammad Azrul Rahimi, Ahmad Izzul Irfan dan Muhammad Zulfaqar Zulkarnain diwakili peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi.
Majistret menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.
8 Oktober lalu, mayat seorang lelaki berpakaian sukan berwarna kuning dan hitam ditemukan terbaring di tepi jalan dengan kesan kecederaan pada kepala dan muka serta tanpa dokumen pengenalan diri.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dalam sidang media sebelum ini memaklumkan remaja lelaki itu dipercayai dikurung selama dua hari, selain diseksa dan digunting rambut hanya kerana dituduh mencuri motosikal.
Beliau berkata, mangsa turut dipukul dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan di lokasi terbabit.
Hasil bedah siasat pada hari sama, mendapati punca kematian disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul.