53 Tan tepung gandum tanpa permit disita – KPDN

Foto RTM

BALING, 16 Jun – Lebih 53 tan metrik tepung gandum yang disimpan tanpa permit sah disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam satu serbuan di sebuah kilang memproses makanan haiwan di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, di sini, petang isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan KPDN Cawangan Baling dibuat hasil risikan terhadap penyimpanan barang kawalan tanpa kebenaran.
  • Pemeriksaan premis kilang pemproses makanan haiwan mendapati bahan disimpan tanpa permit atau kebenaran Pengawal Bekalan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sah.
  • KPDN memberi amaran tindakan tegas dan menggesa sokongan masyarakat terhadap gerakan KITA GEMPUR untuk ketelusan rantaian bekalan.

Serbuan kira-kira pukul 4.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Baling hasil risikan terhadap aktiviti penyimpanan barang kawalan tanpa kebenaran.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sejumlah besar tepung gandum yang dipercayai digunakan bagi pemprosesan makanan haiwan keluaran syarikat terbabit.

“Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran Pengawal Bekalan untuk menyimpan bahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, susulan itu, pihaknya menyita sebanyak 53,325 kilogram tepung gandum bernilai RM100,251 untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sah.

Dalam pada itu, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam penyelewengan barangan bersubsidi yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu atau sindiket yang didapati melanggar undang-undang,” tegasnya.

KPDN Kedah turut menyeru semua pihak termasuk pengguna, peniaga dan pemain industri untuk bersama-sama menyokong inisiatif KITA GEMPUR (Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan) bagi memastikan ketelusan rantaian bekalan negara terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.