
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Kadar tambang bagi perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih dalam proses penilaian dan belum dimuktamadkan, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi satu kenyataan.
- Angka tambang yang tular di media sosial adalah spekulasi dan tidak mencerminkan kadar sebenar.
- Kadar sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan termasuk APAD untuk memastikan ia berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna.
- Kadar rasmi akan diumumkan Kementerian setelah penilaian selesai; orang ramai dinasihatkan tidak membuat andaian dari maklumat tidak disahkan.
MRL menegaskan, sebarang angka yang dikongsi di platform media sosial ketika ini tidak mencerminkan kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027.
“Sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027,” menurut kenyataan itu.
Menurut MRL, kadar tambang berkenaan sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan ia berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna.
Proses itu penting bagi memastikan struktur tambang yang ditetapkan bukan sahaja mampu menarik pengguna, malah selaras dengan matlamat menyediakan sistem pengangkutan awam yang berkualiti dan mampan.
MRL turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.
Katanya, kadar tambang rasmi hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas semua proses penilaian dan kelulusan berkaitan selesai dilaksanakan.
Laluan ECRL sepanjang 665 kilometer akan menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor, sekali gus memperkukuh rangkaian pengangkutan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung.
Perkhidmatan itu dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada sekitar empat jam berbanding kira-kira tujuh jam menggunakan jalan raya.
Sehingga April lalu, kemajuan keseluruhan projek ECRL telah mencapai 93.7 peratus dan berada di landasan untuk memulakan operasi pada Januari 2027.