
MASJID TANAH, 16 Jun – Melaka semakin menghampiri status negeri digital apabila liputan rangkaian internet 5G kini mencapai 89.9 peratus, manakala liputan 4G telah meliputi sepenuhnya negeri itu.
- Kerajaan negeri komited merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan digital untuk capaian internet lebih meluas, stabil dan berkualiti.
- Usaha memperkukuh kerjasama antara semua pengendali telekomunikasi akan terus dipergiat untuk memastikan liputan rangkaian yang optimum.
- Majlis perasmian menara telekomunikasi baharu di Taman Seri Jeram menandakan pembangunan infrastruktur sambungan komunikasi setempat.
- Menara ke-400 oleh Melaka ICT Holdings dijangka meningkatkan liputan dan kestabilan rangkaian bagi beberapa kampung serta taman sekitar.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri komited dalam merancang serta melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan digital bagi memastikan rakyat menikmati akses internet yang lebih meluas, stabil dan berkualiti.
Menurut beliau, usaha memperkukuh kerjasama antara semua pengendali telekomunikasi akan terus dipergiat bagi memastikan setiap kawasan di Melaka menerima liputan rangkaian yang optimum.
“Kita akan cuba sebaik mungkin untuk semua operator bekerjasama bagi memberikan perkhidmatan kepada semua pelanggan di seluruh Melaka. Kita tahu terdapat banyak operator mudah alih yang beroperasi di Malaysia dan di Melaka, jadi kita akan pastikan mereka dapat bekerjasama menggunakan satu menara telekomunikasi yang mampu memberikan liputan menyeluruh kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Struktur Menara Telekomunikasi Baharu di Taman Seri Jeram, di sini, hari ini.
Menara milik Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MITCH) itu merupakan menara ke-400 dibangunkan di negeri berkenaan.
Pembinaan menara baharu itu dijangka meningkatkan liputan serta kestabilan rangkaian komunikasi di beberapa kawasan sekitar termasuk Kampung Seri Jeram, Taman Seri Jeram, Taman Jeram Perdana, Jalan Lubok Redan, Kolej Komuniti Masjid Tanah, Taman Sri Paya Rumput serta Kampung Paya Rumput.