84 PMKS perkasa industri hiliran lada, hasilkan 255 produk

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika merasmikan Ekspo Lada Malaysia 2026/ Foto FB Kementerian Perladangan dan Komoditi – KPK

PETALING JAYA, 28 November – Sebanyak 84 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah bimbingan Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah menghasilkan 255 produk runcit berasaskan lada, merangkumi pelbagai kategori makanan dan bukan makanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan lada berkembang melangkaui kegunaan tradisional, merangkumi produk makanan, kosmetik dan minyak urut.
  • Produk hiliran lada mencatat purata nilai jualan sekitar RM20 juta setahun.
  • Pengukuhan industri perlu menitikberatkan kualiti serta pemeliharaan identiti Lada Sarawak.
  • Kerajaan akan mempergiat penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan bagi meluaskan pasaran produk hiliran lada tempatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, perkembangan itu mencerminkan penggunaan lada yang semakin meluas, sekali gus membuka potensi baharu dalam pembangunan industri hiliran serta peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.

“Pada hari ini, kita dapati penggunaan lada telah berkembang jauh melangkaui kegunaan tradisionalnya.

“Pelbagai produk telah dihasilkan, termasuk produk makanan, kosmetik, minyak urut dan bermacam-macam lagi yang kini turut dipasarkan.

“Purata nilai jualan dianggarkan sekitar RM20 juta setahun, satu jumlah yang cukup memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Lada Malaysia 2026 di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Menurut Datuk Seri Dr. Noraini, usaha memperkukuh industri hiliran perlu disertai dengan penekanan terhadap aspek kualiti serta pemeliharaan identiti Lada Sarawak, yang menjadi antara keistimewaan produk tempatan di pasaran.

Katanya, industri lada turut menyumbang kira-kira RM1.11 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku kedua 2026, bersamaan 0.13 peratus daripada KDNK negara.

“Kita lihat lada ini kecil sahaja, tetapi besar nilainya kepada ekonomi negara.

“Mulai tahun hadapan, saya mahu lebih banyak produk hiliran lada mendapat tempat di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada aspek penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan produk hiliran bagi memastikan lebih banyak inovasi produk hiliran berasaskan lada tempatan dapat menembusi pasaran yang lebih luas.

Ekspo Lada Malaysia 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 November ini menjadi platform bagi memperkenalkan kepelbagaian produk lada tempatan kepada pengguna, selain meningkatkan kesedaran mengenai potensi produk berkenaan.

Ekspo itu turut membuka peluang kepada usahawan untuk berinteraksi secara langsung dengan pengguna dan peneraju industri bagi meneroka potensi kerjasama serta memperluas jaringan perniagaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.