
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Rakyat Malaysia disaran menjimatkan penggunaan air dan elektrik susulan jangkaan fenomena El Nino yang akan berlarutan sehingga awal tahun 2027, membawa cuaca lebih panas dan kering di beberapa kawasan dalam negara.
- Pengurangan hujan sekitar 20 hingga 40 peratus dijangka di selatan Semenanjung serta sebahagian kawasan di Sabah dan Sarawak.
- Ambil langkah berjaga-jaga kerana cuaca kering dan peningkatan suhu boleh berlaku.
- Jimatkan penggunaan air kerana taburan hujan dijangka berkurang.
- Elak pembakaran terbuka untuk mengurangkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan pencemaran jerebu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan fenomena itu akan menyebabkan pengurangan hujan sekitar 20 hingga 40 peratus di beberapa kawasan terutama selatan Semenanjung, selain sebahagian kawasan di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Ambun Dindang berkata, keadaan cuaca kering itu memerlukan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kesan berpanjangan fenomena tersebut.
Beliau menegaskan antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan air secara berhemah memandangkan taburan hujan dijangka berkurangan dalam tempoh tersebut.
“Dari segi peningkatan suhu, kita menjangkakan masih lagi kawasan-kawasan utara semenanjung dan juga kawasan-kawasan pedalaman dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak. Kita jangka akan berlaku peningkatan suhu,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata penggunaan elektrik juga perlu dijimatkan kerana penjanaan tenaga, khususnya hidroelektrik, bergantung kepada sumber air yang mencukupi.
Katanya, cuaca panas turut memberi kesan kepada kesihatan serta meningkatkan risiko pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan jerebu jika tidak dikawal.
“Bagi yang menghadapi masalah kesihatan, mohon cakna dengan keadaan ini dan mereka dinasihatkan untuk tidak berada di luar rumah dalam tempoh masa yang lama pada waktu cuaca puncak,” katanya lagi.
Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan pembakaran terbuka kerana ia boleh menjejaskan kualiti udara serta meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.