
KOTA TINGGI, 16 Jun – Sebuah dewan belajar di Madrasah Tahfiz Riyaadul Muhsineen di Felda Bukit Aping Timur di sini, terbakar kira-kira 50 peratus dalam kejadian awal pagi tadi.
- JBPM menerima panggilan kecemasan pada 3.43 pagi; pasukan dari BBP Kota Tinggi dan BBP Bandar Penawar digerakkan.
- Jentera pertama tiba pada 4.10 pagi setelah perjalanan kira-kira 26 kilometer; kebakaran dikawal pada 5.30 pagi.
- Operasi melibatkan 17 anggota, dua FRT, satu EMRS dan sebuah kenderaan utiliti; tiada mangsa terlibat, punca masih disiasat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.43 pagi sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi bersama BBP Bandar Penawar digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, Mohd Syukri Yusof berkata, jentera pertama dilaporkan tiba pada jam 4.10 pagi dengan jarak perjalanan kira-kira 26 kilometer dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah dewan belajar satu tingkat jenis kekal.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.39 pagi.
Operasi turut dibantu oleh 17 anggota termasuk kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.